ADS

Showing posts with label Projek Tanaman. Show all posts
Showing posts with label Projek Tanaman. Show all posts

Wednesday, November 29, 2017

Pokok Tetulang


Pokok tetulang atau dikenali juga sebagai pokok tulang-tulang adalah pokok yang unik kerana kelihatan hidup tanpa daun tidak seperti tumbuhan-tumbuhan yang lain. Pokok tetulang atau nama saintifiknya Euphorbia tirucalli dari famili Euphorbiaceace ini boleh didapati di Afrika, India, Sri Lanka dan juga Asia Tenggara. Pokok ini juga dikenali dengan nama Firestick Plants, Indian Tree Spurge, Naked Lady, Pencil Tree, Pencil Cactus, Sticks on fire atau Mill Bush.


Pokok tetulang mempunyai bentuk batang yang panjang dan bulat. Batang muda berwarna hijau muda dan batang yang matang berwarna hijau tua. Susunan ranting dahannya seperti rangka tulang manusia. Jika diamati dengan tetilti, pokok tetulang mempunyai daun yang agak halus dan kecil. Daun ini akan membesar dan bertukar menjadi dahan yang bulat seperti tulang. 


Pembiakan melalui keratan batang

Pokok ini boleh dibiakkan dengan menggunakan keratan batang. Semakin kerap dahan-dahannya dicantas, maka makin banyak tunas-tunas baru akan tumbuh. 

Awas! getah pokok tetulang beracun dan bertoksik. Getahnya berwarna putih dan akan mengalir keluar dari dahan yang cedera atau dipatahkan. Jika terkena pada kulit, ia boleh menyebabkan kerengsaan yang teruk dan kemerahan seolah terbakar. Jika tertelan getah pokok tetulang boleh menyebabkan melecur pada mulut, bibir dan lidah. Sila dapatkan rawatan perubatan dengan kadar segera jika terkena getah pokok ini. 





Saturday, May 20, 2017

Projek Tanaman 21: Pokok Belalai Gajah

Cara-cara menanam Pokok Belalai Gajah

1. Ambil keratan batang berukuran kira-kira 4 - 6 inci. Pilih keratan yang keras         atau matang
2. Rendamkan keratan tersebut di dalam air dan dicampur sedikit penggalak akar     bagi mempercepatkan proses penumbuhan akar. Letakkan di tempat yang             redup
3. Keratan batang tadi bolehlah ditanam di dalam pasu ataupun polibeg setelah         ditumbuhi akar.

Hari ketiga: Pucuk baru tumbuh di atas ruas batang 
Akar tumbuh di hujung batang
Artikel mengenai pokok belalai gajah. Klik di sini

Wednesday, May 10, 2017

Projek Tanaman 20: Pokok Nanas


Kami sekeluarga gemar makan buah nanas. Selain rasanya yang manis, buah nanas juga mempunyai khasiat yang tinggi. 

Cara-cara menanam nanas

1. Untuk menanam nanas, saya membeli sebiji buah nanas segar di pasar tani.  Pilih buah nenas yang mempunyai kulit keras, berwarna coklat keemasan dan matang. Cium aroma nanas untuk mengetahui kematangannya; nanas matang mengeluarkan aroma yang manis dan kuat.

Jika ingin menanam tanaman nanas yang baru, pastikan:

a: Pastikan nanas yang dipilih adalah matang dan bukannya terlalu matang. Jika daunnya senang tercabut bila ditarik secara perlahan-lahan, maka nanas itu sudah terlalu matang. 

b: Pastikan tampuk daunnya masih hijau dan tidak ditumbuhi serangga di bahagian dasar daunnya. Serangga ini kelihatan seperti bintik-bintik kecil berwarna kelabu.


2. Putar daun pada bahagian atas nanas untuk mencabutnya. Cara ini akan menjaga bahagian dasar daun tetap utuh. Tanpa dasar daun ini, akar nanas tidak dapat tumbuh. 


3. Petik beberapa helai daun di bahagian bawah untuk membuka batang nanas supaya batang mengeluarkan akar setelah ditanam.


4. Rendam bahagian bawah mahkota nanas di dalam bekas yang diisi air manakala bahagian daunnya berada di bahagian atas air.


5. Letakkan bekas tersebut di tepi jendela sehingga ditumbuhi akar. Gantikan air rendaman setiap beberapa hari agar tidak ditumbuhi lumut.


6. Mahkota nanas tadi boleh ditanam di dalam media tanaman apabila akarnya tumbuh kira-kira 1 inci. 



Thursday, February 9, 2017

Projek Tanaman 19: Pokok Pisang Kaki

Untuk projek tanaman yang baru, saya bersama anak-anak mencuba menyemai biji buah pisang kaki pada awal Disember 2016 yang lalu. Walaupun peluang biji ini bercambah adalah nipis, kami mencubanya sekadar suka-suka. Kami tanam biji benih di dalam pasu pokok kurma dan tidak sangka anak benih boleh bercambah. 


Benih mula bercambah kira-kira 2 minggu di semai

8 Januari 2017: Dua minggu setelah bercambah


31 Januari 2017: Anak pokok mempunyai 3 helai daun


Tuesday, January 31, 2017

Projek Tanaman 18: Pokok Bendi

Kami ambil anak pokok bendi ini dari mak mertua. Pada mulanya pokok bendi ini hanya mempunyai 2 helai daun sahaja bak kata pepatah melayu hidup segan mati tak mahu. Namun kami cuba juga menjaganya mana tau bendi ini dapat pulih kembali.



Setelah 12 hari, pokok bendi menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan. Daunnya mula tumbuh.



Sekarang mempunyai 6 helai daun

Saturday, January 7, 2017

Projek Tanaman 17: Pokok Ros

Bunga Ros Ibu

Melihat pokok Ros ibu saya yang cantik, membuatkan saya teruja untuk mencuba menyemai anak pokok ros. Pokok ros atau lebih dikenali dengan nama mawar, mudah dibiakkan dengan cara keratan batang. 


Cara-cara penanaman

1. Pilih keratan batang yang matang berukuran kira-kira 8 inci dan dipotong serong. 

2. Saya sapukan sedikit penggalak akar dan disemai di dalam pasu dengan menggunakan media 'potting soil'. 


3. Keratan batang yang telah disemai, saya letakkan di kawasan redup dan tidak terkena cahaya matahari. Pada mulanya, semua daun di keratan batang itu biarkan. Namun daunnya gugur satu persatu.


Friday, November 18, 2016

Projek Tanaman 16: Pokok Celery


Saya cuba menanam calery dengan menggunakan lebihan batang celery. Saya hanya meletakkannya di atas tanah. Dalam masa seminggu, daun celery mula tumbuh. Setiap kali saya menyiram celery, saya akan pastikan batangnya tidak terkena air. Sebelum ini saya sering gagal menyemai keratan batang celery.  Antara percubaan saya:

Wednesday, November 9, 2016

Cuba Lagi!! Tanam Ulam Raja

Pada awal tahun lalu, saya pernah mencuba menanam ulam raja dari keratan batang dan berjaya bertunas. Namun selepas mula berbunga, pokok ulam raja mula layu dan mati. Boleh baca di sini - Projek Tanaman 3: Ulam Raja. Kali ini saya ingin mencuba sekali lagi menanam pokok ulam raja, ulaman kegemaran anak-anak saya. 

Tiga hari yang lalu saya menyemai keratan batang ulam raja yang saya beli di pasar. Semua daunnya saya petik dan tinggalkan batangnya sahaja. Tunasnya tumbuh di nod-nod antara batang tersebut. Moga pokok ulam raja saya dapat membesar dengan sihat. 


Keratan ulam raja yang baru di semai
Ulam raja sudah bertunas

Saturday, November 5, 2016

Projek Tanaman: Pokok Betik

Anak pokok betik baru mempunyai 1 daun sebenar
Anak-anak tidak sabar untuk cuba menyemai biji benih betik. Biji buah betik kami basuh dan tabur di dalam tanah. Biji benih tersebut kami letakkan di tempat teduh dan disiram sekali sehari, Selang seminggu anak pokok mula tumbuh. Anak-anak berasa gembira melihat perkembangan biji benih yang ditanam mula tumbuh. 

Tuesday, November 1, 2016

Projek Tanaman 14: Mulberry



Keratan batang pemberian sis Maria Usop telah disemai pada 25 Oktober 2016. Kelihatan 2 keratan batang mula menunjukkan penumbuhan pucuk. Terima kasih sis Maria atas pemberian keratan batang Mulberry.

Monday, October 10, 2016

Projek Tanaman 13: Pandan


Hari minggu yang lepas, Kami mempelajari cara-cara menanam pokok pandan. Pokok pandan matang ini adalah pemberian dari ibu saya. Setelah beberapa bulan kami menjaganya, kelihatan anak-anak pokok pandan tumbuh dicelah-celah daun dan dipangkal pokok. Kami mengambil keputusan untuk mencuba membiak pokok pandan dengan menggunakan keratan anak pokok. 

Anak Pokok Pandan

Thursday, October 6, 2016

Projek 12: Limau Kasturi

Pokok limau kasturi yang kami tanam dari biji.
Usia: 7 bulan

Kami telah memetik banyak buah kasturi ketika aktiviti fruit picking bersama nenek ketika cuti sekolah yang lepas. Klik di sini untuk membaca cerita fruit picking. Jusnya diperah agar boleh tahan lama manakala bijinya kami tanam sebagai projek tanaman bersama Zaim, Zayana dan Alisya.

Wednesday, September 21, 2016

Projek 10: Cili Api Jambak

Kini kami dapat mengutip hasil dari 'edible garden' kami

Dua bulan yang lalu, kami menyemai cili api jambak yang diperoleh dari Sis Lin dari group Kebun Bandar. Biji benih cili boleh diambil dari cili padi yang telah matang dan berwarna coklat. 

Cara-cara menyemai biji
1. Saya meletakkan tanah campuran iaitu  tanah merah, tanah bakar dan cocopeat ke dalam polibeg sehingga 3/4 penuh. 

2. Saya menyemai 4 biji benih ke dalam polibeg. Tutup lapisan biji benih dengan tanah yang nipis. Jarak tanaman adalah kira-kira 2 cm antara pokok. Semaian hendaklah dilindungi dari matahari yang terik dan air hujan yang berlebihan.

Tuesday, September 20, 2016

Update: Buah Cili Merah Matang

Anak-anak sangat gembira melihat titik peluh mereka menanam pokok cili dari biji benih mula mengeluarkan hasil. Benih pokok cili ini diambil dari cili kering. Saya tidak pasti varieti cili ini. Saya menanamnya secara organik tanpa menggunakan racun serangga dan hanya meletakkan baja organik. 


Artikel mengenai Projek menanam cili merah. Klik di sini

Keratan Kemunting Cina Berbunga dan Tumbuh



Pokok kemunting yang dikerat menjadi dua anak pokok, telah berbunga. Bahagian keratan pucuk mengeluarkan bunga berwarna ungu keputihan. Bahagian keratan sebelah bawah hanya mengeluarkan pucuk / daun baru. 



Artikel mengenai Percubaan membiak Kemunting Cina. Klik di sini

Tuesday, September 6, 2016

Percubaan membiak Kemunting Cina

Pokok kemunting cina semakin meninggi dan membesar. Saya mengambil keputusan untuk memotong pokok saya agar menjadi dua pokok. Kedua-dua keratan pokok ini saya tanam di dalam pasu. Setelah kira-kira dua minggu, kelihatan daun-daun baru mula tumbuh di celah daun lama pada keratan sebelah kanan (keratan batang bahagian bawah). Pucuk baru tumbuh di keratan sebelah kiri (keratan sebelah atas). Semoga keratan ini dapat tumbuh dan berbunga. 

Daun-daun baru mula tumbuh dicelah-celah daun
Hasil percubaan menanam pokok Kemunting Cina dari keratan batang. Klik di sini

Thursday, July 21, 2016

Projek 11: Menanam Kemunting Cina dari keratan batang



Kami cuba menanam pokok Kemunting Cina daripada keratan batang. Keratan yang dipetik direndam dahulu dalam air untuk beberapa hari sebelum di tanam dalam pasu.


Keratan di tanam pada 13 Jun 2016. Bunganya gugur 
keesokan harinya

Pokok Kemunting CIna bertambah tinggi dan berbunga.
Ditanam dalam polibeg hitam di atas tu. 


Tuesday, June 21, 2016

Pokok halia (percubaan ke 2)

Setelah sekian lama pokok tidak terjaga kerana saya mengalami keguguran beberapa bulan yang lepas dan terpaksa pulihkan diri, kini saya bangkit dan meneruskan hobi saya. Banyak pokok-pokok yang mati kekeringan dan terkena penyakit. Dalam kesedihan dan kehilangan, pokok halia ini tumbuh seperti memberi semangat baru.



Pokok halia sebelum ini juga mati kerana rhizomnya membusuk dan tidak dapat diselamatkan lagi. Percubaan saya menyemai rhizom halia yg baru membuahkan hasil.

Wednesday, April 6, 2016

Cara 'Repotting'

Menurut Musa Yaacob, penulis blog Tin oh Tin, pokok Tin sebaik-baiknya ditanam di dalam bekas (containerised planting) kerana pokok ini sensitif dengan pemberian air yang berlebihan dan boleh mati jika tidak dikawal dengan baik. Keaadan iklim Malaysia yang menerima purata hujan yang lebih tinggi berbanding keperluan tanaman boleh memberi kesan buruk kepada Pokok Tin. Oleh itu, penanaman di dalam bekas adalah lebih sesuai kerana kandungan air yang diperlukan dapat dikawal. Selain itu, kita juga harus memastikan kawasan tanaman mendapat saliran yang baik dan air tidak bertakung.

Bagi Geng Kebun Rumah Tinggi, kami menanam pokok Tin kami di dalam pasu plastik kerana ianya ringan dan mudah untuk dialih. Kami juga membuat research cara-cara terbaik untuk memindahkan pokok kami ke dalam pasu yang lebih besar. 

Pokok Tin di dalam bekas minuman

Menurut Musa Yaacob, bahan-bahan yang diperlukan untuk menghasilkan media tanaman yang sesuai adalah Vermiculite, Perlite, Peatmoss, sekam bakar (hancur), cocopeat, tanah lapisan atas (top soil), tanah merah dan media campuran (6 dalam 1).

Sumber: http://www.tinohtin.com/2015/09/bahan-asas-untuk-menghasilkan-media-tut.html


Tuesday, April 5, 2016

Terima Keratan Batang dari Nur Aida

Hari ini -- (5 April 2016), geng Kebun Rumah Tinggi menerima keratan batang beberapa pokok dari Nur Aida (group Kebun Bandar: Jom Tanam Sendiri). Keratan batang yang kami dapat kenal pasti adalah keratan batang mulberry, keratan batang cherry barbados dan keratan batang anggur. Ada beberapa keratan saya tidak pasti. Kemungkinan keratan batang mahkota dewa. Ada juga benih yang saya tidak dapat pastikan. Terima kasih banyak-banyak kerana memberi peluang geng Kebun Rumah Tinggi mencuba tanaman yang mempunyai banyak manfaat. Kami berharap usaha kami ini berjaya.

Kami rasa ini keratan batang anggur

Keratan batang yang berwarna hijau ini
 tidak dapat dipastikan


Keratan batang Mulberry

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...