ADS

Showing posts with label resepi. Show all posts
Showing posts with label resepi. Show all posts

Sunday, January 21, 2018

Kimci


Kimci ialah makanan tradisional Korea iaitu sayur hasil pemerapan (Fermented). Antara sayur-sayur yang digunakan seperti kobis cina (Napa Cabbage), kucai, carrot, lobak putih (Daikon), daun bawang, timun, daun selom dan sebagainya. Di Korea, kimci selalu dihidangkan pada waktu makan dengan hampir semua masakan. Kimci juga digunakan sebagai ramuan untuk masakan sup kimci (kimci jjigae) nasi goreng kimci (kimci bokkeumbap) dan pelbagai masakan. Kimci terdiri daripada pelbagai jenis dengan ciri aroma masam, keras dan tajam.

Kimci dibuat dari bermacam-macam jenis bahan mengikut jenis kimci dan selera orang yang membuatnya. Kimci yang terkenal di Korea adalah Baechu yang dibuat dari sawi putih dan lobak putih. Sayur tersebut dicampur bawang putih, cili merah, daun bawang, halia, makanan laut seperti udang dan sotong, garam dan gula. Terdapat lebih kurang 187 jenis kimci di Korea, sejak dari zaman dahulu hingga zaman sekarang. 

Menurut majalah Health Magazine, kimci adalah salah satu daripada makanan tersihat di dunia. Kimci kaya dengan vitamin dan membantu pencernaan. Di dalam kimci terdapat bakteria hidup yang lebih banyak dari yogurt yang dipercayai dapat mengelakkan kegemukan dan obesiti. 

Sunday, November 6, 2016

Jeruk Mangga (Pickled Mango)

Hari ini kami mencuba membuat Jeruk Mangga. Cara-cara membuat jeruk mangga adalah mudah dan boleh dibuat sendiri di rumah. Bahan-bahan yang diperlukan ialah mangga muda, cuka epal, garam, gula dan cili padi. Saya tidak menggunakan asam boi dan menggantikannya dengan cuka epal. Selamat mencuba!!



Kupas mangga dan potong secara memanjang.
Sebaik-baiknya gunakan mangga muda

Masak di atas api cuka epal, gula dan garam bersesuaian
mengikut sukatan mangga 

Tuesday, October 4, 2016

Nabeez Drink (Infused Water)

Air nabeez kaya dengan potassium
untuk menjaga jantung dan menstabilkan tekanan darah

Air Nabeez adalah buah kurma atau kismis yang direndam di dalam air masak semalaman di dalam bekas yang bertutup dan diminum pada keesokkan harinya. Air nabeez dikatakan air kegemaran Nabi Muhammad SAW. Air ini membantu badan untuk menyingkirkan bahan-bahan toksin yang berbahaya di dalam tubuh. Oleh sebab, air nabeez mempunyai kadar fiber yang tinggi, maka air ini mampu membantu proses pencernaan yang baik serta dapat menajamkan fikiran agar tidak mudah lupa. Air nabeez juga mampu mengekalkan tenaga sepanjang hari. Selain itu, air ini mempunyai kandungan iron dan potassium yang tinggi. 



Saturday, August 27, 2016

Kubis Cina Gulung

Hari ini kami menikmati kubis cina gulung berintikan daging dan sayur-sayuran. Ia adalah masakan cina dan boleh dinikmati sebagai hidangan sampingan ketika makan tengah hari. Masakan cina banyak menggunakan teknik merebus, mencelur dan mengukus. 


Kubis Cina gulung
Resepi Kubis Cina Gulung

Bahan-Bahan

Kubis cina (dikukus/ steamed)

Inti

Daging hancur
1 lobak merah (dihirs nipis)
3 batang celery (potong kecil-kecil)
1 biji kentang  (potong dadu)
setengah bawang merah (ditumbuk)
3 ulas bawang putih (ditumbuk)
sedikit halia (ditumbuk)
2 susu besar bbq sos
2 sudu tomato sos
sedikit garam sebagai perisa

Cara-cara

1. Tumis bahan-bahan yang ditumbuk sehingga naik bau. Seterusnya masukkan kentang dan masak sehingga empuk.

2. Kemudian masukkan celery dan sedikit air. setelah celery lembut, masukkan lobak merah dan daging hancur. Perisakan dengan sedikit garam, bbq sos dan sos tomato. Masak sehingga semua bahan empuk dan masak.

3. Setelah intinya sejuk, letakkannya di atas kobis cina yang telah dikukus dan gulungkan. Hidangan boleh dinikmati bersama-sama sos atau dimakan begitu sahaja. 


Monday, July 11, 2016

Tradisi Menganyam Ketupat

Dengan cermat ibu mertuaku meraut sehelai daun kelapa muda dan dibahagi kepada dua sebelum daun kelapa muda itu dililit pada kedua-dua tangan. Daun kelapa muda yang dililit di kedua-dua belah tangan mula dianyam sehingga membentuk kelongsong yang seakan-akan berbentuk bawang. Ibu mertuaku mengambil masa kira-kira 5 minit untuk menghasilkan sebiji kelongsong ketupat. 

Zaman dahulu tidak sama dengan zaman kanak-kanak sekarang yang hidup dalam serba moden.  Kebanyakan kanak-kanak pada zaman itu mempelajari anyaman ketupat daripada ibu atau nenek mereka. Ibu mertuaku pernah bercerita, pada mula-mula mempelajari seni anyaman ketupat, dia mengambil masa yang agak lama untuk betul-betul mahir menganyam ketupat. Malah ibu mertuaku memberitahu ketupat bawang dan ketupat sate adalah dua jenis ketupat yang paling mudah dianyam. Kemahirannya menganyam ketupat diturunkan kepada anak-anaknya. Suamiku juga pandai menganyam ketupat dan menjadi tugasnya saban tahun menjelang Hari Raya. 


Saturday, July 9, 2016

Ketupat



Pada amnya ketupat berasal dari pelbagai budaya di Asia Tenggara. Ketupat menjadi sajian utama ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri untuk meraikan kemenangan umat Islam menahan hawa nafsu selepas sebulan berpuasa. Ketupat dihidangkan bersama-sama rendang, dendeng, masak lodeh dan sambal goreng.  Selain di Malaysia, ketupat juga boleh ditemui di Indonesia, Brunei, Singapura dan Filipina. Nama lain ketupat adalah Kupat Tahu (Sunda), Tipat (Bali) Katupat Kandangan (Banjar), Kupat (Jawa, Indonesia), Bugnoy (Filipina) dan Ketupat (Brunei).

Sejarah Ketupat

Pada ketika dulu, Sunan Kalijaga memperkenalkan ketupat pada masyarakat jawa. Beliau telah memperkenalkan dua Bakda Lebaran dan Bakda Kupat. Bakda bermaksud sesudah mengikut Kamus Besar Bahasa Indonesia (KBBI). Bakda Lebaran pula bermaksud Hari Raya Aidifitri. Bakda Kupat dimulakan seminggu sesudah Lebaran. Pada ketika itu, penduduk di tanah Jawa menganyam ketupat dari daun kelapa muda. Setelah selesai di masak, ketupat tersebut dihantar ke kerabat lebih tua yang dipanggil ngejot. Amalan ini menjadi sebuah lambang kebersamaan. Masyarakat Jawa di Bagan, Batu Pahat (di kampung ibu saya) masih lagi mengamalkan tradisi menghantar ketupat dan lauk-lauk kepada jiran tetangga atau lebih dikenali dengan panggilan munjung.


Wednesday, March 30, 2016

Jus Kunyit Minuman Kesihatan

Jus Kunyit merupakan minuman istimewa kerana sarat pelbagai nutrien yang diperlukan oleh tubuh. Bukan sahaja untuk mengekalkan kesihatan, malah menyumbang kepada perawatan dan kesembuhan sebahagian dari penyakit yang dideritai. 

Kunyit kaya dengan vitamin-vitamin penting seperti pyridoxine (B6), niacin (b3), Folate (B2), A, C, E dan K. Kunyit juga tinggi kandungan vitamin B6 dan C. Setiap 100 gm herba ini membekalkan 1.80mg atau 138% vitamin B6, dan 23.9mg atau 43% vitamin C dari dos saranan harian yang diperlukan oleh tubuh. Selain itu, kunyit mengandungi banyak zat-zat gizi seperti kalsium, besi, potassium, magnisium, tembaga, zink dan manganese. Setiap 100 gm membekalkan 41.42mg atau 517% zat besi dan 7.83 mg atau 340% manganese dari dos saranan harian yang diperlukan oleh tubuh. Kunyit juga mengandungi minyak essential / pati seperti termerone, curlone, curumene, cineole dan p-cymene. Kunyit tidak mengandungi kolesterol.

Versi 1



Cara-cara menyediakan Jus kunyit

1. Sebiji lemon diperah untuk mendapatkan jusnya.
2. Seterusnya parut seruas kunyit berukuran kira-kira sebesar ibu jari dalam gelas yang berisi 2 sudu besar air masak. Larutan tersebut kemudian ditapis ke dalam gelas yang berisi jus lemon.
3. Masukkan 2 sudu besar madu dan dikacau hingga sebati. Biarkan jus ini selama 30 minit sebelum dimasukkan air masak sehingga 3/4 gelas. Jus lemon boleh digantikan dengan asam jawa.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...