ADS

Sunday, March 13, 2016

Air Terjun Batu 16, Gombak

Air terjun ini masih lagi terpelihara kecantikan dan keasliannya

Pada 13 Mac 2016 lalu, kami sekeluarga dan geng Macai Rimba Outdoor Team (MROT) telah melakukan aktiviti 'hiking' ke Air Terjun Batu 16 yang terletak di Gombak. Air terjun ini terletak di Kampung Orang Asli Batu 16, Gombak dan masih belum lagi diketahui umum. Perjalanan bermula dari Jalan Gombak sehingga anda melihat Hospital Orang Asli Gombak. Perjalanan diteruskan sehingga anda melihat papan tanda Art Village Batu 16 . Ambil simpang kiri dan susuri jalan kecil tersebut sehingga sampai ke Kampung Orang Asli Batu 16.

Di sebelah kiri, kelihatan bangunan Pusat Pengajian Luar, Universiti Malaya (UM), Ulu Gombak. 

Anda boleh pakir kenderaan anda di kawasan kampung Orang Asli dan hanya dikenakan bayaran sebanyak RM3.00. Rumah-rumah di perkampungan ini dihiasi dengan lukisan-lukisan yang menarik. Tandas komuniti yang disediakan juga turut dihias cantik dengan lukisan mural.

Peta taburan rumah penduduk kampung
Mural yang dihasilkan dapat melahirkan suasana yang ceria dan cantik

Perjalanan off-road bermula dari kampung Orang Asli yang mengambil masa kira-kira 20 minit mengikut tahap kelajuan individu. Denai yang dilalui agak santai dan mudah. Kami melalui denai yang dipenuhi pokok-pokok buluh. Sayup-sayup kedengaran bunyi kenderaan lalu lalang kerana denai ini selari dengan Lebuhraya Karak.

Dalam perjalanan, kami terpaksa merangkak di bawah pokok buluh

Tiba di suatu kawasan, kami terpaksa menuruni bukit untuk sampai ke sungai. Walaupun agak sukar, dengan kerjasama yang utuh, kami berjaya sampai ke bawah dengan selamat. Usia tidak menjadi halangan buat anak kami yang baru berusia 4 tahun setengah, dengan semangat yang kental, dia berjaya sampai ke bawah. Namun, aktiviti ini tidak sesuai bagi kanak-kanak yang tidak pernah melakukan aktiviti lasak.

Kami menggunakan akar-akar kayu sebagai pemegang

Kami tidak sabar untuk bermain air sebaik sahaja mata terpandang akan kecantikan sungai itu. Namun, perjalanan diteruskan dengan menyusuri sepanjang sungai untuk sampai ke destinasi. Awas! batu-batu di situ sangat tajam dan licin. Jalan dengan berhati-hati agar tiada kemalangan di kemudian hari.

Air sungai seperti memanggil kami

Walaupun kasut kami basah, ini tidak mematahkan semangat kami untuk sampai ke destinasi

Kami terpegun dengan kecantikan Air Terjun Batu 16, Gombak. Airnya yang dingin dan suasananya yang tenang membuatkan kami terlupa sebentar akan kesibukan di Kota Raya. Tanpa berlengah lagi, anak-anak kecil segera 'terjun' ke dalam sungai. Bagi geng dewasa pula, kami bersiap-siap menyediakan tempat 'piknik' dan memasak untuk hidangan tengah hari. Antara makanan yang menjadi juadah kami adalah Roti Jala berserta kari ayam, Sandwich sardin, macroni cheese, kek coklat, cucur sayur dan Epal.

Bersiaran langsung khas dari Air Terjun Batu16

Memupuk cintakan alam semulajadi hendaklah dilakukan sejak kecil lagi

Selain bermandi-manda, ada juga yang berani melompat dari atas air terjun tersebut. Anda perlu berhati-hati dan sentiasa periksa paras air sebelum melakukan aktiviti terjunan.


Gelongsor air semulajadi

Setelah penat bermandi manda, tibalah waktu pulang ke ibu kota yang penuh dengan kesibukan. Kami melalui trek yang kami ikuti kembali.


Kami telah tiba di sini, anda bila lagi?

Mendaki kembali dengan hanya berpaut pada akar-akar pokok untuk naik ke atas

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...