ADS

Saturday, July 9, 2016

Ketupat



Pada amnya ketupat berasal dari pelbagai budaya di Asia Tenggara. Ketupat menjadi sajian utama ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri untuk meraikan kemenangan umat Islam menahan hawa nafsu selepas sebulan berpuasa. Ketupat dihidangkan bersama-sama rendang, dendeng, masak lodeh dan sambal goreng.  Selain di Malaysia, ketupat juga boleh ditemui di Indonesia, Brunei, Singapura dan Filipina. Nama lain ketupat adalah Kupat Tahu (Sunda), Tipat (Bali) Katupat Kandangan (Banjar), Kupat (Jawa, Indonesia), Bugnoy (Filipina) dan Ketupat (Brunei).

Sejarah Ketupat

Pada ketika dulu, Sunan Kalijaga memperkenalkan ketupat pada masyarakat jawa. Beliau telah memperkenalkan dua Bakda Lebaran dan Bakda Kupat. Bakda bermaksud sesudah mengikut Kamus Besar Bahasa Indonesia (KBBI). Bakda Lebaran pula bermaksud Hari Raya Aidifitri. Bakda Kupat dimulakan seminggu sesudah Lebaran. Pada ketika itu, penduduk di tanah Jawa menganyam ketupat dari daun kelapa muda. Setelah selesai di masak, ketupat tersebut dihantar ke kerabat lebih tua yang dipanggil ngejot. Amalan ini menjadi sebuah lambang kebersamaan. Masyarakat Jawa di Bagan, Batu Pahat (di kampung ibu saya) masih lagi mengamalkan tradisi menghantar ketupat dan lauk-lauk kepada jiran tetangga atau lebih dikenali dengan panggilan munjung.


Di sebalik makna ketupat
Ketupat atau Kupat mempunyai maksud yang khusus. Dalam bahasa Jawa, Ku bermaksud ngaku (mengakui) dan pat bermaksud lepat atau kesalahan. Jika digabungkan ia bererti 'mengakui kesalahan'. Anyaman ketupat juga mempunyai makanya tersendiri. Anyaman ketupat kelihatan indah dengan jalinan hijau dan kuning berselang seli malah ia agak rumit untuk dilakukan. Ini menggambarkan manusia yang sering diliputi dengan pelbagai kesalahan. Namun apabila ketupat dipotong, kita akan melihat warna putih dari nasi yang sudah masak padat. Nasi putih ini simbol hati manusia yang sudah putih suci kembali setelah menjalani ibadah puasa selama sebulan.

Ketupat bukan sahaja sekadar juadah yang wajib ada ketika Hari Raya Aidilfitri malah ia mempunyai makna yang tersirat. Ketupat adalah simbol sucinya kembali manusia dari segala macam kesalahan. Begitulah pentingnya peranan ketupat sehingga menjadi salah satu tradisi masyarakat di Malaysia. Menjelang Hari Raya, Masyarakat melayu saling bermaaf-maafan sesama ahli keluarga dan mengaku kesalahan yang telah kita lakukan. Tradisi ini mengajar kita agar sentiasa menghormati orang tua, bersikap rendah diri, memohon keikhlasan dan ampunan dari orang lain khususnya yang lebih tua. 



Jenis

Ketupat tradisional dibahagikan kepada 2 jenis iaitu ketupat nasi dan ketupat pulut.

1. Ketupat Nasi






Ketupat nasi menggunakan daun kelapa muda atau dipanggil juga 'Janur' sebagai kelonsongnya. Daun kelapa muda lebih lembut dan berwarna kuning kehijauan dibahagian lidinya. Daun kelapa muda dianyam dan diisi beras yang telah dibasuh bersih. ketupat yang telah diisi beras direbus selama 4 hingga 5 jam. Ketupat Nasi akan dipotong dua dan dihidangkan bersama-sama sambal kacang, masak lodeh, rendang ayam, rendang daging dan serunding kelapa. Antara bentuk-bentuk ketupat yang popular ketika sambutan Hari Raya seperti ketupat bawang, ketupat satay, ketupat pasar dan ketupat sintok.


2. Ketupat Pulut





Ketupat palas ialah ketupat yang menggunakan daun palas sebagai kelonsongnya. Daun Palas berwarna kuning kehijauan. Pulut dimasak terlebih dahulu dan diisi di dalam kelongsong yang dianyam dalam bentuk segitiga sebelum  dihidang atau digoreng. Ketupat palas sedap di makan dengan serunding daging, rendang daging atau rendang ayam. Ketupat palas yang digoreng tahan lebih lama berbanding yang direbus. 

 


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...