ADS

Saturday, March 5, 2016

Ros Jepun Tidak Berbunga

Kami juga berminat dengan pokok-pokok bunga. Untuk permulaan, kami memilih pokok Ros Jepun kerana pokok ini mempunyai bunga yang cantik dan senang dijaga. Pada mulanya pokok Ros Jepun kami mempunyai bunga yang banyak dan kelihatan cantik. Tetapi makin lama pokok bunga Ros Jepun kami tidak berbunga dan daunnya kecil sahaja.

Walaupun buntu kami cuba mencari jalan penyelesaian. Kami cuba meletakkan Ros Jepun di tempat yang kena matahari paling panas dan lama. Jika dahulu kami letakkan di atas lantai, kini kami menggantungkannya di railing. Seminggu selepas itu, kami mendapati Ros Jepun mula mengeluarkan putik bunga dan daunnya kelihatan besar dan segar.


Mula berbunga dan batangnya kini bercabang



Galak tumbuh putik bunga


Petua



Sejak berzaman, nenek moyang kita telah menggunakan asam jawa untuk mengubati penyakit yang mereka alami. Walaupun kita tidak dapat pastikan keberkesannannya, namun perubatan tradisional ini telah diperturunkan bagi memberi manfaat kepada generasi akan datang. perubatan tradisional ini harus disimpan sebagai rujukan atau salah satu cara perubatan alternatif tanpa bahan kimia.

Asam jawa atau nama saintifiknya tamarindus indica adalah tumbuhan asal di benua Afrika dan tersebar meluas oleh pedagang-pedagang arab yang datang singgah ke Asia Tenggara. Nama lain bagi asam jawa adalah Asam, Asam kemat, Asam kuning (Melayu), Indian date, Sweet tamarind (Bahasa Inggeris), Anbii, ambli, Chinh, Imalii, Tamarulhindi (India), Da Ma Lin, Loa Wang Zi (China), Bakham Somkham (Thailand), Me Chua (Vietnam), Sempodok (Filipina), Tamarindo (Jepun) dan Khaam, Kok mak kham (Laos).

Petua orang dulu-dulu


1. Demam Panas
Ambil segenggam asam jawa dan kemudiannya diramas di dalam semangkuk air. Kemudian air tersebut dilumurkan di atas kepala bayi anda sambil berselawat dan membaca doa ini.



Friday, March 4, 2016

Penanaman Kurma (update 2)

Update 2

Pada 4 Mac 2016 lalu, ketika meninjau kebun rumah tinggi, saya dapati 4 anak pokok kurma mula tumbuh daun kedua. Keempat-empat pokok ini diletakkan di kawasan panas terik petang. manakala 9 anak pokok lagi yang ditempatkan di tempat redup belum lagi mengeluarkan daun kedua.

Pokok anak kurma yang diletakkan di tempat panas

Ke pautan Projek Tanaman 4: Kurma. Klik di sini

Thursday, March 3, 2016

Projek Tanaman 6: Asam Jawa Manis (Tammarind)


Jauh mengembara dari Kelantan ke Shah Alam

Ibu kesayangan memberi buah asam jawa manis yang di beli di pasar kelantan. Saya dan anak-anak mengambil keputusan untuk menanam biji asam jawa manis kerana rasanya yang sedap dan manis. Maka pada 9 Februari 2016 yang lalu, kami menyemai biji asam jawa manis. Kami terlupa akan projek kami ini sehinggalah pada 28 Februari 2016 lalu, anak pokok Asam Jawa mula bercambah.


Anak-anak gembira melihat benih yang ditanam bercambah
Walaupun saya tahu, pokok asam jawa manis mengambil masa hingga ke 6 tahun untuk berbuah, ini tidak mematahkan semangat kami untuk mencuba bercucuk tanam dan melihat benih itu bercambah. Kebanyakkan pokok di kebun kami, kami tanam sendiri dari buah yang dibeli di pasaraya. Perasaan gembira melihat 'kehidupan' baru bermula dari usaha kami itu tidak dapat digambarkan.

Wednesday, March 2, 2016

Mengapa pokok layu ketika tengah hari

Satu masalah timbul ketika projek menanam pokok capsicum  iaitu anak pokok layu ketika matahari terik memancar secara terus ke balkoni rumah iaitu antara pukul 3.00 hingga pukul 6.00 petang. Anak pokok seolah lembik dan daunnya bergulung. Keadaan anak pokok kembali pulih apabila cahaya matahari tidak lagi terik. Kami mencuba beberapa cara untuk mencari penyelesaian masalah ini.

i) menutup kawasan anak benih capsicum dengan kain hitam yang dijual di nursery.
- Kain tersebut dapat menghalang cahaya matahari  memancar terus ke balkoni rumah.
Hasilnya: Anak pokok capsicum kelihatan lebih baik dan batangnya tidak lembik dan daunnya tidak lagi bergulung.

Anak pokok capsicum layukan dirinya untuk
menggelak kehilangan air yang banyak. 


Salah satu cara saya lakukan untuk
menghalang pancaran terus cahaya matahari

Proses transpirasi adalah proses tumbuhan kehilangan air dalam bentuk wap air melalui stoma pada daun.  Stoma adalah liang kecil pada daun yang membenarkan wap air keluar dari bahagian tumbuhan yang aktif seperti daun dan batang. Stoma adalah liang kecil pada permukaan daun yang dikawal oleh sel pengawal yang berbentuk seperti kacang. Ia berfungsi untuk membenarkan pertukaran oksigen dan karbon dioksida semasa proses fotesintesis dan repirasi, Selain itu, stoma juga berfungsi untuk menyingkirkan wap air semasa transpirasi.

Semakin luas permukaan daun, semakin banyak bilangan stoma pada tumbuhan tersebut maka semakin luas kawasan untuk air menyejat, semakin tinggi pula kadar transpirasi. Cahaya merangsang bukaan stoma. Semakin tinggi keamatan cahaya, semakin tinggi kadar transpirasi kerana stoma akan terbuka dengan lebih luas.  Semakin tinggi suhu persekitaran maka semakin tinggi kadar traspirasi yang berlaku.

Oleh itu, pada suhu panas, daun dan batang pokok kelihatan layu sebagai akibat hilangnya air yang diperlukan. Daun yang nipis akan layu lebih cepat berbanding daun yang tebal. Kelayuan tumbuhan ini boleh dikatan layu sementara atau layu kekal. layu sementara terjadi jika tanah masih mengandungi air buat tumbuhan. Kelayuan terjadi akibat banyak air yang tersejat. Tumbuhan akan menjadi segar kembali setelah kadar transpirasi menurun. Layu sementara yang berulang-ulang akan menyebabkan tumbuhan mengalami pertumbuhan yang tertekan.




Di sini saya menjumpai video penerangan mengenai masalah ini di blog TanamSendiri.com. Anda boleh klik di sini untuk keterangan lanjut. 


sumber: TanamSendiri.com Nota Biologi

Projek 5: Menanam pokok capsicum. Klik di sini

Tuesday, March 1, 2016

Cili Benggala (Bell Pepper)


Cili Benggala atau nama saintifiknya Capsicum annum L adalah sayuran jenis cili dari keluarga Solanaceae.  Cili benggala atau dikenali juga sebagai Bell Pepper dipercayai berasal dari kawasan Mexico, Amerika Selatan dan terus disebarkan ke kawasan Eropah, Asia Barat, Afrika dan Asia. Cili benggala memiliki pelbagai varieti dan nama bergantung kepada tempat dan jenisnya. Cili benggala dikenali sebagai chilli pepper di Amerika Utara, sweet pepper di Britain dan capsicum di Australia, New Zealand dan India. Ia juga dikenali sebagai bell pepper di Amerika Syarikat dan Kanada serta dikenali di sesetengah negara sebagai paprika.

Buah ini besar dan berbentuk seperti loceng serta mempunyai warna yang menarik seperti hijau, merah, kuning, oren, ungu, coklat dan hitam. Cili benggala boleh dimakan mentah atau dimasak. Sayur ini boleh dicincang atau dihiris dan dimakan sebagai salad. Selain itu, cili benggala juga dijadikan sos atau dicincang dijadikan salsa dengan mencampurkan dengan beberapa rempah dan herba.


Monday, February 29, 2016

Penanaman Sunlady melon (part 2)

27 Februari 2016

Kelihatan daun kelima dan batang sulur mulai tumbuh

27 Februari 2016 lalu, kami repotting sunlady melon ke dalam pasu yang lebih besar. Di dalam proses pemindahan, beberapa pokok telah patah. Apa yang yang dapat dilihat, anak benih haruslah ditanam terus di tempat yang hendak di tanam kerana batang pokok masih lembut. Secara tidak langsung ini dapat merbahayakan keselamatan anak pokok.

Anak pokok yang telah dialih ke pasu yang lebih besar. 

Pembantu mama terpaksa bergilir-gilir membantu
kerana kawasan yang terhad

Penanaman Sunlady Melon di apartment (part 1). Klik sini

Saturday, February 27, 2016

Dari Shah Alam ke Rumah Api Tanjung Tuan

Permulaan perjalanan kami ke Rumah Api Tanjung Tuan

Pada 27 Februari 2016 lalu, kami telah ke Hutan Rekreasi Tanjung Tuan, Port Dickson. Perjalanan dari Shah Alam ke Hutan Rekreasi Tanjung Tuan mengambil masa kira-kira 1 jam 30 minit dan kami tiba kira-kira pada pukul 8.00 pagi, Pengunjung boleh memakir kenderaan mereka di sepanjang jalan bersebelahan hutan rekreasi tersebut. 

Pengunjung dikehendaki membayar RM1.00 dan mendaftar di Balai Penerangan yang terletak berhampirann pintu masuk hutan rekreasi tersebut. Kemudahan seperti bilik air juga disediakan. Pengunjung harus membawa bekal makanan dan air yang mencukupi  kerana tiada gerai di sekitar pintu masuk hutan rekreasi. Laluan utama ke rumah api ialah jalan tar. Trailnya mudah dan santai.

Trailnya mudah dan selamat

Perjalanan ke Rumah Api Tanjung Tuan mengambil masa kira-kira 30 minit sahaja. Sebelum tiba di rumah api, ada beberapa laluan susur masuk ke trail-trail yang berlainan. Bagi peminat burung, bolehlah menyelusuri laluan penghijrahan burung pemangsa. Antara burung yang dapat dilihat ialah burung helang, hering dan layang-layang. Burung-burung ini hijrah dari Indonesia dan dapat dilihat dari bulan Februari dan Mac.

Pada 5 Jan 1971, Kawasan Hutan Rekreasi Tanjung Tuan telah diwartakan sebagai kawasan Suaka Hidupan Liar dan Burung-burung 

Sebanyak 54 spesis burung liar yang terdiri daripada burung tempatan dan
burung berhijrah serta 3 spesis primate

Friday, February 26, 2016

Projek 5: Tanaman Capsicum

1. Saya menjalankan projek ini bersama-sama anak-anak. Biji benih diperoleh dari buah cili capsicum yang dibeli di pasaraya. Pembantu kecil saya telah menabur secara rawak biji cili capsicum di dalam pasu kecil. Media yang digunakan adalah tanah hitam+tanah merah+cocopeat. dalam masa seminggu anak-anak pokok cili capsicum mula bercambah. Oleh kerana keadaan di dalam pasu yang padat, kami telah memindahkannya ke dalam polibeg. kira-kira 60 biji anak benih yang bercambah. Walaupun ruang balkoni yang sempit, saya cuba menyediakan kawasan yang terlindung dari matahari sebaik-baiknya. Perkembangan anak pokok cili tidak sekata.

Daun ketiga baru sahaja muncul

Anak pokok cili capsicum mempunyai 3 helai daun

Anak pokok mempunyai 4 helai daun

Anak pokok cili capsicum yang telah di alih ke polibeg

Dari projek ini, kami dapati anak pokok yang terdedah kepada cahaya matahari  terik akan menyebabkan daunnya bergulung dan batangnya kelihatan tidak bermaya. Untuk mengelakkan keadaan ini berterusan saya menutup kawasan anak pokok dengan kain hitam (yang digunakan di nursery).

Mengapa anak pokok capsicum layu ketika tengah hari? Klik
di sini

Thursday, February 25, 2016

Taman Cabaran Putrajaya

Kompleks Kemudahan Sukan Ekstrim (Sukan Wall Climbing)

Untuk adventure kali ini. kami ke Kompleks Kemudahan Sukan Ekstrim (Sukan Wall climbing) yang terletak di seksyen 5, Putrajaya. Lokasi kompleks ini  agak rumit namun pengunjung boleh menggunakan GPS untuk mencari lokasinya. Klik sini untuk lokasi Kompleks Kemudahan Sukan Ekstrim (Sukan Wall climbing). Koordinat GPS: 2.8889273,101.6663448.

Lokasi Taman Cabaran Putrajaya


Kompleks sukan ini dibuka dari hari Ahad hingga hari Khamis dari pukul 10.00 pagi hingga 8.00 malam dan hari Rabu, Jumaat dan Sabtu dari pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam. Kompleks ini akan ditutup pada hari pertama dan ketiga Isnin pada setiap bulan untuk memberi laluan kepada kerja-kerja membaikpulih. Bayaran dikenakan sebanyak RM6.00 bagi dewasa, Pelajar sebanyak RM3.00 dan kanak-kanak adalah percuma.

Banggunan kompleks ini adalah seluas 2,100 kaki persegi dan menyediakan indoor wall climbing setinggi kira-kira 20 meter dan berbentuk trapezoidal. Terdapat enam zone iaitu:

Zon A: Expert Bouldering Wall
Zon B: Beginners Bouldering Wall
Zon C: Expert Lead Wall
Zon D: Top Roping Wall
Zon E: Speed Climbing Wall
Zon F: Intermediate Lead Wall


Wednesday, February 24, 2016

Khasiat Buah Kurma


Buah kurma boleh dimakan sama ada yang masak atau mentah. Kebanyakan pokok kurma ditanam di negara-negara Asia Barat dan kini telah berkembang hingga ke Afrika Utara, California, Arizona, India, thailand dan Malaysia. Selain rasanya yang manis, buah kurma tahan lama serta tidak perlu dimasak. Buah ini mempunyai banyak khasiat dan baik untuk manusia sejagat.

Buah kurma mempunyai kandungan protein kira-kira 2.0 peratus, serat, 2 hingga 4 peratus dan kandungan gulanya boleh mencapai sehingga 57 peratus glukosa. Apabila kurma dimakan, glukosa yang diserap dalam tubuh ditukar serta merta menjadi tenaga. Kulit kurma pula mengandungi serat yang amat baik untuk mencegag barah usus besar kerana ia merupakan pelawas. Buah kurma juga kaya dengantiamin, riboflavin, zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potasium, vitamin A dan C dan niasin. Telah terbukti dalam perubatan sains mahupun homopati, amat berkesan bagi mengubati gangguan usus yang kronik, di mana ketidakserasian gluten menghalang penyerapan zar-zat makanan secara sempurna.

Tuesday, February 23, 2016

Pokok Kurma



Pokok Kurma atau nama saintifiknya Phoenix dactylifera ialah sejenis pokok palma dalam keluarga Arecaceae. Pokok ini ditanam secara besar-besaran untuk mendapatkan buahnya. Pokok Kurma merupakan pokok bersaiz sedang, ketinggian boleh mencapai di antara 15 hingga 25 meter dan sering terkumpul dengan beberapa pokok daripada suatu sistem akar tunjang namun adakalanya tumbuh secara tunggal. Daunnya berbentuk pinat, panjang antara 3 hingga 5 meter dengan durinya di petiol dan mempunyai sekitar 150 daun kecil sepanjang 30 sm dan selebar 2sm.



Monday, February 22, 2016

Air Terjun Sofia Jane



Pada 21 Februari 2016 lalu, kami sekerluarga dan geng Macai Rimba Outdoor Team (MROT) telah berpakat trekking ke Air Terjun Sofia Jane, Kemensah. Air terjun ini terletak di Kampung Kemensah Ulu Kelang. Kira-kira 10 minit perjalanan dari pintu Zoo Negara ke Kampung Kemensah hingga ke penghujung jalan.

Jalan di sebelah Zoo Negara

Kami melintasi kawasan perkelahan di mana banyak chalet-chalet pensendirian berhampiran sungai Kemensah. Kami pakir berhampiran kawasan rekreasi ATV Kuala Lumpur sebelum memulakan trekking.

Perjalanan off road bermula dari Institut Budaya Baru Melayu. Terdapat denai kecil yang menghubungkan dunia luar ke Air Terjun Sofia Jane. Terdapat pelbagai cara untuk ke air terjun tersebut antaranya seperti hiking, menaiki basikal mountain bike, menaiki motor scrambler dan menaiki ATV. Tepuk dada tanya selera.

Jika sukakan cabaran aktiviti lasak, pengunjung boleh menyewa ATV di kawasan rekreasi berkenaan untuk sampai ke air terjun. Bagi kami, kami memilih untuk hiking hingga ke air terjun yang mengambil masa kira-kira dua jam. Sesekali kami terserempak dengan pengunjung-pengunjung yang menaiki ATV, Motor scrambler dan Mountain bike.


Aktiviti lasak bagi pengunjung yang inginkan cabaran.


Sambil berbasikal, pengunjung dapat menikmati keindahan semula jadi

Jalam treknya agak santai dan sesekali mendaki. Anak-anak kecil kami sentiasa bertanya "lama lagi ke?" tidak sabar agaknya untuk bermandi manda di air terjun yang sejuk lagi menyegarkan itu.

Ikut laluan ATV Trail sehingga tiba ke air terjun.
Kecil-kecil sudah mengikut ibu dan ayah trekking di rimba

Terdapat 6 buah air terjun di Hutan Komuniti Kg Kemensah antaranya
Air Terjun Sofia Jane, Air Terjun Lata Sham, Cabang Sungai, Air Terjun Lata Pinang, Air Terjun Maya Karin dan Air Terjun Neolofa

Mengikut penduduk kampung Kemensah, nama asal Air Terjun Sofia Jane adalah Jeram Kubang Gajah.


Sebaik sahaja tiba ke papan tanda kedua, trek mula menurun sehingga tiba ke Air Terjun Sofia Jane. mengikut cerita orang kampung di situ, air terjun ini mempunyai tiga tingkat. namun kami tidak meneruskan perjalanan dan hanya berpiknik di tingkat bawah. Kami menikmati pelbagai juadah yang di bawa antaranya nasi berlaukkan ayam masak cili padi, roti jala, sandwich dan kek batik.

Selain membawa bekal dari rumah, geng MROT turut menggoreng
cucur udang.

Makan dahulu sebelum berendam di dalam air sungai yang sejuk

Kami turut tidak melepaskan peluang berendam di dalam sungai dan berdiri di bawah air terjun. Airnya sungguh sejuk dan menyegarkan. Salute dan tabik spring kepada geng MROT yang begitu sporting dan awesome.

Air yang jatuh di belakang terasa seperti 'massage' 

Walaupun di tengah-tengah keheningan Kotaraya, nun jauh di sana masih terdapat air terjun yang mendinginkan


Saturday, February 20, 2016

Bukit Broga



Pada April 2015 lalu, kami sekeluarga telah mendaki Bukit Broga yang terletak di semenyih. Bukit ini menjadi pilihan kerana tahap pendakian yang agak mudah. Kanak-kanak juga tidak ketinggalan mencuba mendaki bukit Broga. Seawal 6.30 pagi, kami mula mendaki bukit Broga. Walaupun laluan agak gelap, namun 'kemeriahan' para pendaki lain yang turut sama mendaki sedikit sebanyak menceriakan suasana pagi tersebut. pendakian bermula dari kawasan pakir di ladang kelapa sawit hingga ke pintu gerbang Bukit Broga. 

Perjalanan diteruskan dengan mendaki laluan yang dikelilingi pokok-pokok hutan kira-kira 45 minit bergantung pada tahap kelajuan individu. Pendakian hendaklah dibuat dengan berhati-hati kerana agak licin dan curam. Kanak-kanak hendaklah sentiasa di awasi agar tidak berlaku sebarang kemalangan.

Permulaan pendakian Bukit Broga

Kemudian, kami tiba di kawasan pendakian yang agak terbuka seluas mata memandang. kelihatan lalang-lang melambai-lambai menyambut kedatangan kami. Matahari mula menyinari dan suasana menjadi sedikit panas. laluannya sedikit mendatar dan bolehlah berehat sebentar bagi melepaskan lelah.

Friday, February 19, 2016

Projek 4: Penanaman Buah Kurma

Projek ini saya jalankan bersama-sama anak-anak pada November 2015 lalu. Buah-buah kurma yang dimakan, disemai di dalam pasu-pasu bunga. (ketika ini saya membiarkan anak-anak saya menyemai di mana mereka suka). Mereka berlumba-lumba menyemai semua biji kurma yang dimakan. Dua bulan kemudian... kelihatan pucuk hijau tumbuh menegak dan ada juga biji benihnya terkeluar dari tanah. Pertumbuhan biji benih agak lambat.



16 Januari 2016, kira-kira 2 bulan, anak pokok kurma mula bercambah

Anak pokok kurma mula mengeluarkan daun pertama
pada 1 Februari 2016

Anak pokok kurma yang telah tumbuh daunnya
kami pindahkan ke dalam polibeg




Walaupun mengambil masa yang lama untuk bercambah,
anak-anak berasa gembira melihat pertumbuhan daun pertama

Update 2. Klik di sini


Thursday, February 18, 2016

Taman Eko Rimba KL

Pintu masuk melalui Menara Kuala Lumpur

Taman Eko Rimba KL terletak di Hutan simpan Bukit nanas. Hutan simpan ini adalah satu-satunya hutan yang masih wujud ditengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur. Hutan simpan Bukit Nanas juga dikenali sebagai Hutan Simpan Bukit Weld dan adalah tertua di Semenanjung Malaysia. Kedudukannya yang strategik iaitu ditengah-tengah kotaraya dan dikelilingi hutan batu (bangunan) memainkan peranan penting sebagai 'Green Lung'' di Kuala Lumpur. Pengunjung berpeluang melihat pelbagai jenis flora yang tumbuh secara semulajadi dan menikmati siulan sang burung yang terdapat di kawasan sambil bersiar-siar.  Terdapat dua pintu masuk: Pintu 1 melalui Menara Kuala Lumpur berdekatan parkir bas pelancong dan Pintu 2: melalui Pejabat Hutan Wilayah Persekutuan di Jalan Raja Chulan.



Terdapat beberapa tempat menarik antaranya Taman Herba, Taman Orkid, Jambatan gantung, jalan-jalan denai, tapak perkhemahan dan kemudahan perkhemahan. Disarankan memakai baju tangan panjang dan bewarna cerah kerana kawasan ini banyak nyamuk. Makanan dan air perlu dibawa kerana tiada gerai yang berdekatan kecuali di Menara Kuala Lumpur. Masuk adalah percuma.


Wednesday, February 17, 2016

Buah Melon



Buah melon atau nama saintifiknya Cucumis melo Linn adalah berasal dari keluarga Cucurbitaceae. Buah melon mempunyai pelbagai nama lain seperti Melon, Musk Melon dan Cantauloupe (English), Blewah, semangka, Londo (Indonesia), Milon, itimon, atimon (Filipina), trasak sorrow (Cambodia), teeng laay (Laos) dan taeng-tai, taeng-kai (Thailand). Buah melon mempunyai banyak varieti antaranya honeydew, rock melon, sunlady melon, musk melon, cantaloupe dan cupid. Buah ini berasal dari kawasan utara Benua Afrika sebelum dimajukan di kawasan Mediteranean dan tersebar meluas ke Eropah dan Asia. Buah melon banyak mengandungi air selain mengandungi vitamin yang berguna untuk kesihatan tubuh kita. Rasanya yang manis sedap dimakan segar mahupun dibuat jus.

Melon adalah sejenis tumbuhan menjalar dan merambat yang mempunyai batang 1 hingga 3 meter panjang berbentuk segi-segi dan lembut. Bunganya pula berwarna kuning berukuran 1.2 hingga 3 sentimeter dan mempunyai 5 kelopak. Buah melon pula berbentuk bulat, bujur atau globular mengikut varieti.


Tuesday, February 16, 2016

Kitar Semula Bahan Terbuang

Kitar semula sesuatu bahan terbuang secara kreatif mampu memberi nafas baru dan sekaligus barangn tersebut tampak lebih menarik dan berguna. Antara bahan yang boleh dikitar semula ialah botol-botol plastik, botol mineral, gegelung tisu, tray tempat letak telur, kotak-kotak bijiran, tin makanan mahupun peralatan dapur yang tidak boleh digunakan lagi.

Projek 1: Botol Mineral dijadikan pasu menanam pokok

Bahan-bahan yang diperlukan:
1. Botol Mineral
2. Gunting
3. Media tanaman
4. Biji Benih


Botol mineral digunakan sebagai pasu semaian


Monday, February 15, 2016

Ulam Raja (Cosmos Caudatus)




Pokok Ulam Raja merupakan tumbuhan tropika yang berasal dari Amerika Latin. Nama saintifiknya adalah Cosmos Caudatus dari keluarga Compositae. Pokok Ulam raja mempunyai bunga yang cantik dan selalu dijadikan pokok hiasan.  Pokok ini sesuai ditanam di semua jenis tanah dan ketinggiannya boleh mencapai sehingga 200 meter dari aras laut.  Pokok ulam raja membiak melalui biji benih yang telah matang. Ulam raja juga dikenali: King salad, Cosmos, Kenikir, Randa midang (Indonesia), Turay-turay,(Filipina) dan Daoruang khana, Kkamhee (Thailand). Daunnya sedap dimakan secara segar mahupun dicelur untuk dinikmati bersama-sama nasi serta sambal belacan.

Khasiat Ulam Raja

  • Ulam raja dapat mencuci darah dari bahan toksik dan menguatkan tulang. Menurut buku 'Vegetables in South East Asia: PROSEA' Setiap 100 gram ulam yang segar mengandungi air (93 gram), karbohidrat (0.4g), lemak (0.4g), serat (1.6g), Ash (1.6g), Kalsium (270mg), vitamin A (0.9mg) dan tenaga 70 kilojoule).
  • Wanita yang ingin sentiasa kelihatan muda remaja bolehlah mengamalkan memakan ulam raja kerana ia mampu menambahkan kandungan oksigen dalam darah. 
  • Klorofil yang diekstrak dari daun ulam raja mengandungi pelbagai jenis bahan kimia semulajadi yang dapat merencatkan aktiviti sesetengah bakteria dan fungus seperti candida albicans dan Bacillus subtilis serta E.coli yang amat membahaya kepada tubuh badan. 

Cara Penanaman

Benih ulam raja dari pokok yang matang dikeringkan dan ditabur di atas tanah. Pastikan tanah telah diberikan baja organik atau baja asas. Siram sehingga benih tersebut tumbuh dengan air bersih. Benih kebiasaannya akan tumbuh dalam 7-10 hari selepas ditabur dan buat penjarangan jika rapat. Tanaman dalam pasu sesuai untuk 1-2 pokok sahaja.

Penjagaan

Tanaman ulam raja tidak mempunyai banyak musuh atau penyakit kerana daunya tang agak pahit, Pokok ulam raja yang dijaga dengan baik boleh dituai dengan memotong pucuk muda selepas 3-4 minggu penanaman. Pucuk sepanjang 4-6 inci dipotong dengan menggunakan gunting. Tunas baru akan tumbuh semula dan boleh dituai lagi selepas 5-7 hari. Pokok ini mudah membiak dan membesar dengan cepat.

Sumber: Anim Agro Technology

Projek 3:

Experiment menanam ulam raja melalui keratan batang
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...