ADS

Thursday, March 10, 2016

Pokok Asam Jawa



Pokok Asam Jawa atau nama saintifiknya Tamarindus indica dari keluarga Fabaceae. Pokok Asam Jawa merupakan pokok dari genus Tamarindus iaitu hanya mempunyai satu spesis sahaja. Pokok Asam jawa menghasilkan  buah yang boleh dimakan seperti pod yang digunakan secara meluas dalam masakan. Selain itu, buah Asam jawa digunakan dalam perubatan tradisional.

Asal


Pokok Asam jawa dipercayai berasal dari Afrika dan tumbuh secara meliar di Sudan, Cameroon, Nigeria dan Tanzania.  Manakala India telah menanam pokok Aam Jawa secara meluas sejak dahulu lagi sehingga dianggap sebagai tanaman asal di sana. Di Arab pula, pokok Asam jawa didapati tumbuh meliar di Negara Oman terutama di sekitar kawasan Dhofar. Pokok asam jawa tersebar meluas ke Asia oleh pedagang-pedangang Arab. Nama lain bagi Asam jawa adalah Asam, Asam kemat, Asam Kuning (Bahasa Melayu), Indian Dare, Sweet tamarind (Bahasa Inggeris), Anbii, Ambli, Chinh, Imalii, Tamarulhindi (India), Da Ma Lin, Loa Wang Zi (China), Bakham Somkham (Thailand), Me Chua (Vietnam), Sempodok (Filipina), Tamarindo (Jepun) dan Khaam, Kok Mak Kham (Laos).


Ciri-ciri


Pokok Asam jawa tergolong dalam kategori tumbuhan yang mempunyai jangka hayat lama, berdaun lebat dan boleh mencapai ketinggian sehingga 30 meter. Pokok ini boleh tumbuh di kawasan beriklim tropika dan sub tropika. Pokok Asam jawa boleh tumbuh di kebanyakan jenis tanah daripada yang berpasir, liat, gambut dan tanah mineral. Pokok ini berbatang besar yang boleh dikelaskan sebagai kayu keras dan kuat (batang berkayu). Bentuk batangnya bulat dengan bentuk kanopi pokok yang tegak (fastigiatus) dan mempunyai garis pusat batang di pangkal hingga 2 meter. Kulit kayunya pula berwarna coklat kelabu, berkulit kasar, dan beralur (vertikel). Batang kayu Asam jawa yang matang boleh dibuat perabot, tiang dan produk berasaskan kayu.

Daunnya kelihatan seperti pokok semalu

Daun pokok Asam jawa adalah jenis majmuk, tumbuh bertentangan pada tangkai daun secara genap dengan berwarna hijau muda kepada hijau pekat. Susunan tangkai daun keluar pada hujung dahan secara bergantian di mana lazimnya mempunyai sebanyak 8 hingga 18 pasang anak daun. Ukuran panjang anak daun sekitar 1.0 hingga 3.5 cm. Lazimnya helaian daun pokok Asam jawa mempunyai bentuk memanjang (oblongus) dan hujung daun yang tumpul (obtuse).

Daun pokok Asam jawa seolah-olah sedang 'tidur'
bila malam menjelma.

Bunga Asam jawa terdiri daripada beberapa bahagian iaitu ibu tangkai bunga (pendiculus), tangkai bunga (pedicellus) dan dasar bunga (receptacullum). Bunganya mempunyai 5 kelopak dan berwarna merah dan kuning.  Putik bunga pula berwarna merah jambu.

Bunganya cantik dan menawan

Buahnya berbentuk seperti lonjong berwarna hijau ketika muda dan bertukar kepada coklat gelap apabila masak. Selalunya buah asam jawa tidak merekah ketika kering tetapi kulitnya akan menjadi rapuh. Buahnya mempunyai ukuran panjang antara 5 hingga 15 cm dengan ketebalan 2.5 cm. Buahnya masam masam manis. Terdapat antara 1 hingga 10 biji dalam satu kelongsong buah . Ketika muda, isi buahnya berwarna  putih kehijauan dan bertukar menjadi coklat apabila tua. Bijinya berwarna coklat kemerah-merahan dan berbentuk bulat dan tidak sekata.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...