ADS

Tuesday, October 25, 2016

Mendaki Bukit Ah Pek

Mercu tanda 
Pada Ahad lepas, kami berpeluang mendaki Bukit Putih atau lebih dikenali dengan nama Bukit Ah Pek. Bukit ini terletak berhampiran Taman Cheras Awana, Kuala Lumpur. Ini merupakan bukit ketiga kami daki setelah Bukit Broga dan Bukit Batu Putih. Namun Bukit Ah Pek betul-betul mencabar ketahanan mental dan fizikal kami. Sebelum ini, kami hanya hiking di trek-trek landai. 


Lokasi Bukit Ah Pek
Kami tergamam sebentar apabila melihat trek mendaki di permulaan hiking kami. Dengan langkah yang berhati-hati, kami memulakan hiking dengan perasaan sedikit ragu-ragu. Mr Ninja mendapat maklumat bahawa trek Bukit Ah Pek landai. Ternyata sangkaan kami salah kali ini. Namun, kami teruskan hiking kami walaupun mula berasa goyah.


Cabaran bermula

Di pertengahan perjalanan, kelihatan sebahagian pokok-pokok telah ditebang bagi memberi laluan pembinaan menara pencawang elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB). Permandangan pokok-pokok menghijau kini digantikan dengan permandangan laluan-laluan lori yang berdebu dan licin. Kami berasa seolah olah berada di 'tapak pembinaan' dan bukan di hutan. Kami berharap pihak terbabit memulihara kembali kawasan-kawasan yang telah 'dinoda' agar kembali menghijau. 



Pembangunan dan alam sekitar hendaklah seiring.
Alam sekitar juga penting sepertimana pembangunan.

Namun, pendaki tidak perlu risau kerana komuniti di situ telah membuka trek baru untuk sampai ke puncak Bukit Ah Pek.  Anda boleh memilih trek yang panjang atau pendek mengikut kekuatan fizikal anda untuk sampai ke puncak. Setelah mendaki hampir 20 minit, kami tiba di station 3. Di sini ada disediakan bekalan air jika anda kehausan dan terputus bekalan air. Jangan risau kerana komuniti di situ turut meletakkan tanda arah untuk ke puncak Bukit Ah Pek. 

Kebanyakan pendaki yang kami terserempak dan bertukar-tukar sapaan adalah berbangsa cina. Kemungkinan juga, ini merupakan sebab mengapa Bukit Putih lebih dikenali dengan nama Bukit Ah Pek. Sementelah papan tanda di situ juga dalam bahasa Cina. Walaubagaimanapun, kami berasa kagum dengan kekuatan fizikal 'uncle' dan 'auntie' yang berumur dalam linkungan 50-an ke atas. Mereka masih mampu mendaki Bukit Ah Pek hingga ke puncaknya. Kelihatan mereka lebih pantas dan tangkas dari kami. 

Kawasan rehat 
Perjalanan diteruskan lagi dengan pendakian ke bukit ke dua dengan langkah agak lambat kerana mula berasa penat dan mengah. Sebelum mendaki, pastikan anda betul-betul dalam keadaan sihat. Tidak digalakkan untuk kanak-kanak berumur di bawah 8 tahun. Pastikan juga kanak-kanak dalam keadaan sihat dan cergas. Kami berasakan seperti mendaki beratus-ratus anak tangga yang tidak pernah kehabisan. Kami kerap berhenti untuk berehat dan meneguk air untuk menghilangkan dahaga. Setelah berpenat lelah, kami akhirnya tiba ke kawasan rehat, station 6. 

Alisya didokong kerana tidak
larat mendaki

Ketika berehat di Station 6, kami berasa putus asa dan 'mental down'. Kami tidak bersedia dari segi mental untuk menghadapi pendakian mencanak kira-kira 30 darjah. Setelah berbincang dan bertanya pendapat hikers di situ, kami mengambil keputusan untuk mencuba sekali lagi mendaki sehingga ke puncak. Abang Hikers memberitahu kira-kira 15 minit sahaja lagi untuk ke puncak. Kedengaran seperti tidak lama, tetapi dengan keadaan mendaki, 15 minit adalah satu jangka masa yang agak lama. Setelah mendaki beberapa anak bukit, kami berjaya tiba di puncak Bukit Ah Pek. Kami mengambil masa kira-kira 1 jam 5 minit untuk sampai ke puncak bukit. 

Tidak seperti di puncak bukit yang lain, tiada permandangan indah yang dapat dilihat dari  atas puncak. Sebaliknya komuniti di sini telah mendirikan beberapa kemudahan untuk digunakan bersama-sama antaranya tempat rehat, jungle gym, tandas dan gerai kecil. Komuniti di situ turut mendirikan 'tree house' namun ia hanya untuk kegunaan sendirian dan tidak dibuka untuk orang awam. Anda perlu mendapatkan kebenaran untuk naik ke atas.

Antara kemudahan yang terdapat di puncak Bukit Ah Pek

Turut disediakan kerusi untuk pendaki berehat melepaskan lelah

Walaupun kepenatan, kami berasa bangga kerana meneruskan hiking kami sehingga ke puncak. Kami berehat sebentar dan menikmati nasi lemak yang dibawa. Kami turut mencuba menaiki tree house setelah mendapat kebenaran dari tuan punya tree house. Gayat apabila melihat ke bawah dengan jarak yang begitu tinggi. Kami tidak meneruskan perjalanan ke Air terjun kerana kesuntuntukkan masa. Terdapat dua air terjun iaitu air terjun besar dan air terjun kecil. Tepat jam 11.00 kami mula bergerak turun ke bawah. perjalanan turun ke bawah lebih mudah berbanding perjalanan mendaki bukit. 

Perjalanan pulang ke kaki bukit
Permandangan Cheras dari lereng bukit
Trek kami ke puncak
Elevation Gain: 272

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...