ADS

Showing posts with label Projek Tanaman. Show all posts
Showing posts with label Projek Tanaman. Show all posts

Tuesday, March 22, 2016

Projek 9: Kunyit

Hari ini, geng kebun rumah tinggi berasa gembira melihat tunas baru mula muncul, Setelah kira-kira seminggu disemai, ia mula menjenggah dunia. Semaian kunyit kali ini berhasil dan moga bertambah subur.

Walaupun kecil, hati tetap girang apabila
semaian bercambah

Update 1:
Kini telah panjang sejengkal

Update 2:
Daun pertama

Projek 8: Menanam Sengkuang dari Ubi yang Bertunas

Kali ini, geng kebun rumah tinggi mencuba menanam pokok sengkuang dari ubi yang telah bertunas. Tujuan utama penanaman ini adalah untuk mendapatkan benih sengkuang. Kebanyakan orang menanam sengkuang dari biji buah sengkuang yang boleh dibeli di nurseri tanaman. Kami berharap projek ini berjaya.

Pokok Sengkuang berumur 2 bulan

Daunnya kelihatan besar tiga segi
Update 1:
Pokok sengkuang kini berumur tiga bulan, bertambah besar dan menjalar mengelilingi pasu-pasu disebelahnya. Kelihatan pucuk baru tumbuh. Geng Kebun Rumah Tinggi tak pasti adakah pokok sengkuang akan mula berbunga.




Saturday, March 19, 2016

Perbezaan Pokok Asam Jawa

Kami telah menyemai biji asam jawa yang diambil dari 
1. Biji dari pes Asam Jawa
2. Biji dari Buah Segar

Hasil pemerhatian: 

Pokok dari Pes Asam Jawa (berumur kira-kira 2 bulan):
1. Daunnya lebih kecil dan berwarna hijau gelap
2. Batangnya lembut dan kecil

Pokok asam jawa hasil dari biji yang diambil
dari pes asam jawa

Pokok Asam Jawa dari buah segar (berumur kira-kira sebulan):
1. Daunnya lebih besar dan warnanya agak terang
2. batangnya lebih tegap dan teguh

Pokok hasil dari biji yang diambil dari buah
segar

Wednesday, March 16, 2016

Projek 7: Cili Merah

Pokok cili merah kecil molek

Pokok ini tumbuh tanpa disedari, dalam pasu yang di dominasi oleh 'Grass plant'. 'Grass plant' ni kami beli di DIY shop sebagai projek tanaman untuk anak-anak kami. mereka menyemai sendiri anak benih di dalam pasu yang disediakan. Benih yang lebih kami semai di dalam pasu biru tersebut. Namun 'Grass plant' ni mempunyai jangka hayat pendek. Setelah menyedari kehadiran pokok cili tersebut, 'Grass plant' dicabut untuk memberi peluang pokok cili ini membesar.


Projek tanaman: Mempelajari kepentingan tumbuhan dalam kehidupan

Sebelum ini kami pernah cuba menanam pokok cili merah, namun apabila mencecah usia 2 bulan, pokok cili kami diserang penyakit lalu mati. Saya tidak pasti pokok cili kami ketika itu diserang penyakit apa. Terasa seperti mahu putus asa, tiba-tiba muncul anak pokok cili tanpa di duga. Kami berharap pokok cili ini akan membesar dengan sihat dan mengeluarkan hasil pertamanya.

Walaupun pokok cili susah dijaga namun
ini tidak mematahkan semangat kami untuk mencubanya lagi



Tuesday, March 15, 2016

Cara Menanam Pokok Tin dari Biji

Masih tidak berkesempatan untuk menukarnya
ke dalam pasu


Bermulalah perjalanan kami menjaga anak pokok Tin pemberian Sis Lin. Mengikut Sis Lin, anak pokok Tin ini ditanam dari biji benih. Sedikit maklumat mengenai cara-cara penanaman melalui biji benih. Anda boleh mendapatkan buah Tin kering yang dijual di pasaraya berdekatan.

Cara-cara:

Ambil sebiji buah Tin kering, dipotong dan dikeluarkan biji didalamnya. Rendam biji tin semalaman. Keesokan harinya, ambil biji benih yang tenggelam sahaja dan tabur di atas media campuran tanah, pasir dan sedikit kompos. Siram agar media sedikit lembab. Kemudian letakkan di tempat yang agak teduh dan tidak ditimpa hujan. Dalam 5 hingga 6 minggu, benih akan tumbuh. Pilih anak benih yang paling besar dan cergas pertumbuhannya. Tanamlah benih tersebut di dalam pasu dan di jaga dengan baik. Pokok yang ditanam melalui biji benih akan mengeluarkan akar tunjang. Pokok yang ada akar tunjang ini dapat bertahan dari tumbang apabila ia semakin besar.

Masalah dari penanaman melalui biji benih

1. Pokok Tin yang tumbuh daripada biji tidak semestinya mengeluarkan buah yang sama macam induknya. Jika buah induknya sedap dan manis, buah hasil daripada anak benih kemungkinan masam. Selain itu, saiz buah berlainan dan juga mungkin lebih manis daripada induk. Kemungkinan juga anak pokok tersebut tidak berbuah langsung.

2. Pokok Tin daripada biji memerlukan masa yang agak lama sebelum ia dapat mengeluarkan buah iaitu antara dua hingga 5 tahun atau lebih.

Info dari:
1. Sis Lin
2. Blog Pokok Tin Putrajaya

Saturday, March 12, 2016

Pokok Tin (Fig)

Hari ini saya memperoleh anak pokok tin atau nama saintifiknya Ficus carica dari salah seorang kawan maya dari Kebun Bandar. Saya amat berterima kasih kerana sudi memberi anak pokok Tin secara percuma. Sebagai menghargai pemberiannya, saya memberinya anak pokok capsicum. Bukan setakat anak pokok Tin, sis Lin juga memberi saya anak pokok tomato ceri, benih bendi dan cili Jambak. Bermulah perjalanan kami geng kebun rumah tinggi menambah ilmu mengenai pokok Tin.

Buah Tin mempunyai khasiat yang tinggi dari
buah lain.


Klik di sini: Cara-cara menanam Pokok Tin dari biji benih

Friday, March 4, 2016

Penanaman Kurma (update 2)

Update 2

Pada 4 Mac 2016 lalu, ketika meninjau kebun rumah tinggi, saya dapati 4 anak pokok kurma mula tumbuh daun kedua. Keempat-empat pokok ini diletakkan di kawasan panas terik petang. manakala 9 anak pokok lagi yang ditempatkan di tempat redup belum lagi mengeluarkan daun kedua.

Pokok anak kurma yang diletakkan di tempat panas

Ke pautan Projek Tanaman 4: Kurma. Klik di sini

Thursday, March 3, 2016

Projek Tanaman 6: Asam Jawa Manis (Tammarind)


Jauh mengembara dari Kelantan ke Shah Alam

Ibu kesayangan memberi buah asam jawa manis yang di beli di pasar kelantan. Saya dan anak-anak mengambil keputusan untuk menanam biji asam jawa manis kerana rasanya yang sedap dan manis. Maka pada 9 Februari 2016 yang lalu, kami menyemai biji asam jawa manis. Kami terlupa akan projek kami ini sehinggalah pada 28 Februari 2016 lalu, anak pokok Asam Jawa mula bercambah.

Anak-anak gembira melihat benih yang ditanam bercambah
Walaupun saya tahu, pokok asam jawa manis mengambil masa hingga ke 6 tahun untuk berbuah, ini tidak mematahkan semangat kami untuk mencuba bercucuk tanam dan melihat benih itu bercambah. Kebanyakkan pokok di kebun kami, kami tanam sendiri dari buah yang dibeli di pasaraya. Perasaan gembira melihat 'kehidupan' baru bermula dari usaha kami itu tidak dapat digambarkan.

Wednesday, March 2, 2016

Mengapa pokok layu ketika tengah hari

Satu masalah timbul ketika projek menanam pokok capsicum  iaitu anak pokok layu ketika matahari terik memancar secara terus ke balkoni rumah iaitu antara pukul 3.00 hingga pukul 6.00 petang. Anak pokok seolah lembik dan daunnya bergulung. Keadaan anak pokok kembali pulih apabila cahaya matahari tidak lagi terik. Kami mencuba beberapa cara untuk mencari penyelesaian masalah ini.

i) menutup kawasan anak benih capsicum dengan kain hitam yang dijual di nursery.
- Kain tersebut dapat menghalang cahaya matahari  memancar terus ke balkoni rumah.
Hasilnya: Anak pokok capsicum kelihatan lebih baik dan batangnya tidak lembik dan daunnya tidak lagi bergulung.

Anak pokok capsicum layukan dirinya untuk
menggelak kehilangan air yang banyak. 


Salah satu cara saya lakukan untuk
menghalang pancaran terus cahaya matahari

Proses transpirasi adalah proses tumbuhan kehilangan air dalam bentuk wap air melalui stoma pada daun.  Stoma adalah liang kecil pada daun yang membenarkan wap air keluar dari bahagian tumbuhan yang aktif seperti daun dan batang. Stoma adalah liang kecil pada permukaan daun yang dikawal oleh sel pengawal yang berbentuk seperti kacang. Ia berfungsi untuk membenarkan pertukaran oksigen dan karbon dioksida semasa proses fotesintesis dan repirasi, Selain itu, stoma juga berfungsi untuk menyingkirkan wap air semasa transpirasi.

Semakin luas permukaan daun, semakin banyak bilangan stoma pada tumbuhan tersebut maka semakin luas kawasan untuk air menyejat, semakin tinggi pula kadar transpirasi. Cahaya merangsang bukaan stoma. Semakin tinggi keamatan cahaya, semakin tinggi kadar transpirasi kerana stoma akan terbuka dengan lebih luas.  Semakin tinggi suhu persekitaran maka semakin tinggi kadar traspirasi yang berlaku.

Oleh itu, pada suhu panas, daun dan batang pokok kelihatan layu sebagai akibat hilangnya air yang diperlukan. Daun yang nipis akan layu lebih cepat berbanding daun yang tebal. Kelayuan tumbuhan ini boleh dikatan layu sementara atau layu kekal. layu sementara terjadi jika tanah masih mengandungi air buat tumbuhan. Kelayuan terjadi akibat banyak air yang tersejat. Tumbuhan akan menjadi segar kembali setelah kadar transpirasi menurun. Layu sementara yang berulang-ulang akan menyebabkan tumbuhan mengalami pertumbuhan yang tertekan.




Di sini saya menjumpai video penerangan mengenai masalah ini di blog TanamSendiri.com. Anda boleh klik di sini untuk keterangan lanjut. 


sumber: TanamSendiri.com Nota Biologi

Projek 5: Menanam pokok capsicum. Klik di sini

Monday, February 29, 2016

Penanaman Sunlady melon (part 2)

27 Februari 2016

Kelihatan daun kelima dan batang sulur mulai tumbuh

27 Februari 2016 lalu, kami repotting sunlady melon ke dalam pasu yang lebih besar. Di dalam proses pemindahan, beberapa pokok telah patah. Apa yang yang dapat dilihat, anak benih haruslah ditanam terus di tempat yang hendak di tanam kerana batang pokok masih lembut. Secara tidak langsung ini dapat merbahayakan keselamatan anak pokok.

Anak pokok yang telah dialih ke pasu yang lebih besar. 

Pembantu mama terpaksa bergilir-gilir membantu
kerana kawasan yang terhad

Penanaman Sunlady Melon di apartment (part 1). Klik sini

Friday, February 26, 2016

Projek 5: Tanaman Capsicum

1. Saya menjalankan projek ini bersama-sama anak-anak. Biji benih diperoleh dari buah cili capsicum yang dibeli di pasaraya. Pembantu kecil saya telah menabur secara rawak biji cili capsicum di dalam pasu kecil. Media yang digunakan adalah tanah hitam+tanah merah+cocopeat. dalam masa seminggu anak-anak pokok cili capsicum mula bercambah. Oleh kerana keadaan di dalam pasu yang padat, kami telah memindahkannya ke dalam polibeg. kira-kira 60 biji anak benih yang bercambah. Walaupun ruang balkoni yang sempit, saya cuba menyediakan kawasan yang terlindung dari matahari sebaik-baiknya. Perkembangan anak pokok cili tidak sekata.

Daun ketiga baru sahaja muncul

Anak pokok cili capsicum mempunyai 3 helai daun

Anak pokok mempunyai 4 helai daun

Anak pokok cili capsicum yang telah di alih ke polibeg

Dari projek ini, kami dapati anak pokok yang terdedah kepada cahaya matahari  terik akan menyebabkan daunnya bergulung dan batangnya kelihatan tidak bermaya. Untuk mengelakkan keadaan ini berterusan saya menutup kawasan anak pokok dengan kain hitam (yang digunakan di nursery).

Mengapa anak pokok capsicum layu ketika tengah hari? Klik di sini

Friday, February 19, 2016

Projek 4: Penanaman Buah Kurma

Projek ini saya jalankan bersama-sama anak-anak pada November 2015 lalu. Buah-buah kurma yang dimakan, disemai di dalam pasu-pasu bunga. (ketika ini saya membiarkan anak-anak saya menyemai di mana mereka suka). Mereka berlumba-lumba menyemai semua biji kurma yang dimakan. Dua bulan kemudian... kelihatan pucuk hijau tumbuh menegak dan ada juga biji benihnya terkeluar dari tanah. Pertumbuhan biji benih agak lambat.



16 Januari 2016, kira-kira 2 bulan, anak pokok kurma mula bercambah

Anak pokok kurma mula mengeluarkan daun pertama
pada 1 Februari 2016
Anak pokok kurma yang telah tumbuh daunnya
kami pindahkan ke dalam polibeg




Walaupun mengambil masa yang lama untuk bercambah,
anak-anak berasa gembira melihat pertumbuhan daun pertama

Update 2. Klik di sini


Sunday, February 14, 2016

Projek 2: Penanaman Sunlady melon di apartment

1. Biji benih Sunlady melon dibasuh bersih dan dibiarkan kering. Saya menggunakan botol mineral kosong sebagai tapak semaian. Media yang digunakan adalah tanah merah+tanah hitam dan cocopeat. 10 biji benih di semai secara lurus, disiram dan diletakkan dikawasan redup. Biji benih mula bercambah satu persatu.



2. Pada 6 Februari 2016, kelihatan 9 biji benih telah mengeluarkan daun permulaan (nikotelidon). Batang sunlady melon kelihatan seperti berbulu dan panjang.




3. Pada 13 Februari 2016, kelihatan daun ketiga dan keempat tumbuh di antara daun benih tadi. Daun asal ini berbetuk tiga segi dan tidak rata hujungnya. Saya meletakkan baja organik bagi membantu tumbesaran anak pokok sunlady dan bercadang untuk menukar ke pasu yang besar dalam masa terdekat.

Daun ketiga


Daun Keempat


Sambungan di update 2. Klik sini








Projek 3: Penanaman Ulam Raja

Percubaan menanam ulam raja melalui keratan batang. Batang Ulam Raja disemai pada 30 Januari 2016. Media: tanah merah, tanah hitam dan cocopeat

30 Januari 2016

Setelah 14 hari kelihatan pucuk baru mula tumbuh.

13 Februari 2016

Update:
Pada 22 Februari 2013, kelihatan pokok ulam raja mula berbunga. 

Putik bunga - setelah 23 hari disemai
Bunganya agak kecil dan bewarna light pink

Segar dari kebun rumah tinggi

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...