ADS

Monday, August 1, 2016

Taman Rekreasi Permai


Hari minggu yang lalu, kami trekking menggelilingi Taman Rekreasi Permai, Selangor Darul Ehsan. Taman Rekreasi ini terletak di Taman Tasik Shah Alam yang seluas 43 hektar. Tasik ini terdiri dari 3 buah tasik buatan iaitu tasik barat, tasik timur dan tasik sentral. Tasik di bahagian barat dinamakan Taman Rekreasi Permai, dibahagian timur dikenali sebagai Taman Rekreasi Raja Lumu  dan sementara tasik bahagian sentral di panggil Taman Rekreasi Indah. 




Lokasi Taman Rekreasi Permai

Taman Rekreasi Permai terletak berhampiran mercu tanda Bandaraya Shah Alam iaitu Kompleks PKNS Shah Alam. Bagi penduduk Shah Alam, Kompleks PKNS diibarat seperti 'Wisma Yakin' di Kuala Lumpur atau 'Pekan Rabu' di Alor Setar untuk mendapatkan kelengkapan menyambut Hari Raya. Sebelum adanya Shah Alam City Centre (SACC) dan Plaza Alam Sentral, Kompleks PKNS merupakan tempat utama siswazah dari Institut Teknologi MARA (ITM) yang kini dikenali sebagai Universiti Teknologi MARA (UiTM)  mencari barang keperluan. 


Kompleks PKNS merupakan nadi dan pusat membeli belah penduduk
di Shah Alam pada masa dahulu
Kami memakir kenderaan di Pusat Rekreasi Antan Bantura dan berjalan ke Kompleks PKNS untuk mencari barang keperluan pengakap anak. Sepanjang perjalanan, saya seolah-olah mengimbas kembali kenangan bersama sahabat handai ketika menuntut di UiTM pada tahun1997. Kami sanggup berjalan dari Kolej Seroja hingga ke Kompleks PKNS semata-mata untuk menjimatkan wang saku yang diberi oleh ibu dan ayah. Disamping itu, dapat juga kami menyihatkan badan. 

Setelah selesai membeli barang keperluan pengakap, kami meneruskan perjalanan mengelilingi Taman Rekreasi Permai. Suasana sekeliling agak redup dan dingin kerana taman ini dikelilingi pohon-pohon besar. Terdapat juga habitat hidupan air tawar dan burung Undan (stork).



Kelihatan nun di sana habitat burung Undan.

Pelbagai kemudahan disediakan antaranya taman permainan kanak-kanak, laluan pejalan kaki, laman refleksiologi, kawasan rehat, restoran, tempat letak kenderaan dan tandas awam. Terdapat juga tempat-tempat menarik untuk dikunjungi sekitar Taman rekreasi ini seperti Laman Budaya, Galeri Shah Alam, Wet Wet World Shah Alam dan Pusat Rekreasi Antan Bantura. Taman Rekreasi Permai adalah seluas kira-kira 2 kilometer dan sesuai untuk aktiviti beriadah atau bersantai bersama-sama ahli keluarga. 



Tasik Barat yang juga dikenali dengan nama Taman Rekreasi Permai


Rehat sebentar di Laman Budaya sambil menikmati dadih

Taman ini dihiasi dengan tanaman hiasan seperti
pokok bunga dan pokok renek

Landskap yang menarik dan bersih
Taman Permainan Kanak-kanak 

Antara flora yang menarik perhatian anak-anak
Salah satu taman yang terletak berhampiran Laman Budaya



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...