Periuk kera yang ditemui ketika hiking ke Air Terjun Sungai Chiling |
Pokok periuk kera atau nama saintifiknya Nepenthes spp adalah tumbuhan karnivor yang tumbuh di tanah-tanah yang berasid seperti paya gabus, hutan karangas, hutan dipterocarp bercampur, gunung batu kapur, Hutan Submontane dan Hutan montane (Hutan pergunungan). Namun ada juga periuk kera yang merupakan epifit. Epifit adalah tumbuhan yang tumbuh dengan cara menumpang pada tumbuhan lain sebagai tempat hidupnya. Boleh ditemui di Semenanjung Malaysia, Borneo, Indonesia, Filipina, Thailand, vietnam, Australia dan Sri Lanka. Terdapat kira-kira 140 spesies periuk kera yang dikenalpasti di dunia.
Pokok periuk kera boleh memanjat kira-kira 10meter dan batangnya terdiri daripada kayu. Periuknya tergantung melalui sulur paut dan berbentuk selinder. Pokok periuk kera sangat unik kerana mempunyai periuk dan penutupnya yang menghalang air hujan memasuki dan bertakung di dalamnya. Permukaan dalam periuk licin dan berlilin untuk menghalang serangga merangkak keluar. Mulut periuk kera pula diliputi oleh tisu keras bergigi untuk menghalang serangga yang terperangkap daripada keluar. Di dalam periuk mengandungi cecair berasid yang dirembeskan oleh kalenjar pada bahagian bawah periuk kera. Bahan kimia ini berfungsi untuk menghadamkan serangga yang terperangkap di dalam periuknya dan menukarkannya kepada nutrien untuk kegunaan tumbuhan tersebut.
Periuk kera mempunyai pelbagai warna mengikut spesiesnya iaitu asasnya berwarna hijau berubah menjadi merah, ungu dan akhirnya hitam. Serangga dan haiwan kecil selalunya tertarik dengan warna periuk kera tersebut dan akhirnya terperangkap di dalamnya.
sumber: http://www.slideshare.net/ZalinaRashid/ex-situ-periuk-kera
Ingin mengetahui keistimewaan Pokok Periuk Kera? sila klik di sini
No comments:
Post a Comment