Pokok Mulberi kami yang baru bertunas |
Mulberi atau nama latinnya morus adalah dari famili Moraceae. Mulberi atau dikenali juga dengan panggilan bebesaran berasal dari kawasan beriklim panas dan subtropika di benua Asia, Afrika dan Amerika Latin. Terdapat kira-kira 150 spesies antaranya Mulberi putih (Morus alba) dari Asia Timur, Mulberi Cina (Morus australis poir) dari Asia Tenggara, Morus celtidifolia kunth dari Amerika Latin dan Mexico, Morus insignis dari Amerika Selatan dan lembah Arizona, Mulberi Afrika (Morus mesozygia stapf) dari Afrika Tengah dan selatan, Mulberi Texas (Morus micropylla) dari Mexico dan Texas, Mulberi Hitam (Morus nigra L.) Asia Barat Daya dan Mulberi merah (Morus rubra L.) dari Amerika Timur Laut.
Pucuk mulberi boleh dimasak atau digoreng dengan belacan |
Pokok Mulberi boleh dibiak melalui biji benih dan keratan batang. Tinggi pokok mulberi adalah kira-kira 10 hingga 15 meter. Daunnya pula berurat jejala, bercuping dan bergerigi di bahagian tepi.
Buah mulberi boleh dimasak untuk dibuat jem |
Buah mulberi adalah bernodul majmuk yang mampu capai kepanjangan sehingga 2 hingga 3 cm dan 1 cm lebar. Buahnya berwarna merah dan agak masam ketika muda manakala berwarna ungu tua ketika masak ranum.
Kebaikan
Buah mulberi mengandungi asid sitrik, gula dan vitamin C, mineral dan vitamin D. Buahnya dikatakan mampu menyembuhkan penyakit kronik pada saluran pencernaan, merangsang rembesan cecair gastrik, menguatkan kebolehan mencerna dan menyerap, memperbaiki selera makan dan menyembuhkan kembung perut dan sembelit. Bagi wanita yang mengalami simptom-simptom seperti anemia, kepucatan, sukar untuk tidur dan jantung berdebar-debar bolehlah mengambil jus mulberi dengan kerap bagi mengurangkan simptom tersebut. Ia juga dipercayai boleh menyembuhkan kaki dan tangan kebas. Selain buahnya dijadikan jus, buah mulberi boleh juga dibuat jem atau dikeringkan sebagai penganti raisin.
Daun mulberi juga banyak kegunaan antaranya sebagai ubat mencuci mata yang merah dan bengkak. Daun kering yang dicampurkan air mendidih dipercayai elok diminum untuk membersihkan tubuh badan, merangsang peluh, ubat batuk, demam panas dan selsema. Daun mulberi yang dilayur dan disapukan minyak pula boleh dijadikan ubat penampal pada luka yang parah. Selain itu, daun mulberi yang ditumbuk lumat boleh melegakan gigitan atau sengatan serangga. (Dapatkan nasihat pakar sebelum diminum)
Cara Penanaman
Isikan tanah ke dalam pasu ataupun polibeg. Anda boleh menggunakan tanah potting soil yang dijual di nursery. Buatkan lubang sedalam kira-kira 4 hingga 5 inci. Tanam keratan batang pokok mulberi tadi ke dalam lubang yang dibuat. Berhati-hati agar tidak menanam keratan dalam keadaan terbalik.
Keratan akan mula bertunas dalam masa 5 hari. Keratan yang ditanam hendaklah diletakkan di tempat teduh sehingga mencapai umur 4 minggu atau sehingga 10 helai daun. Pastikan keratan batang yang ditanam tidak bergoyang untuk mengelakkan akar mudanya rosak.
Penjagaan
1. Pemangkasan perlu dibuat setiap 3 atau 4 bulan sekali untuk menggalakkan pengeluaran pucuk. Kebiasaanya setiap batang akan hasilkan 8-10 pucuk selepas pemangkasan.
2. Pembajaan boleh dibuat sebulan sekali pada tahun pertama dengan menggunakan baja NPK 15:15:15 dan pada tahun kedua pula setiap 2-3 bulan sekali. Pokok Mulberi jarang terkena penyakit.
Sumber: Http://mulberrymalaysia.blogspot.com
No comments:
Post a Comment