ADS

Sunday, March 27, 2016

Rose Moss

Setiap hari ada sahaja bunga Ros Jepun yang berkembang menghiasi ruang Kebun Rumah Tinggi kami. Bunganya kembang seawal pada pukul 10.00 pagi dan menguncup sebaik sahaja matahari terbenam.

                                         
                                                   Rare: kelopak atas berwarna pink dan kelopak bawah berwarna orange

Merah menyala menceriakan keadaan
                                         
                                                          Light pink .. warnanya lembut dan memberi ketenangan



Bunganya menceriakan keadaan

Pink terang 

Putih bersih dan berseri

Tuesday, March 22, 2016

Projek 9: Kunyit

Hari ini, geng kebun rumah tinggi berasa gembira melihat tunas baru mula muncul, Setelah kira-kira seminggu disemai, ia mula menjenggah dunia. Semaian kunyit kali ini berhasil dan moga bertambah subur.

Walaupun kecil, hati tetap girang apabila
semaian bercambah

Update 1:
Kini telah panjang sejengkal

Update 2:
Daun pertama

Projek 8: Menanam Sengkuang dari Ubi yang Bertunas

Kali ini, geng kebun rumah tinggi mencuba menanam pokok sengkuang dari ubi yang telah bertunas. Tujuan utama penanaman ini adalah untuk mendapatkan benih sengkuang. Kebanyakan orang menanam sengkuang dari biji buah sengkuang yang boleh dibeli di nurseri tanaman. Kami berharap projek ini berjaya.

Pokok Sengkuang berumur 2 bulan

Daunnya kelihatan besar tiga segi
Update 1:
Pokok sengkuang kini berumur tiga bulan, bertambah besar dan menjalar mengelilingi pasu-pasu disebelahnya. Kelihatan pucuk baru tumbuh. Geng Kebun Rumah Tinggi tak pasti adakah pokok sengkuang akan mula berbunga.




Monday, March 21, 2016

Chilling di Sungai Chiling

Kenderaan tidak dibenarkan masuk 

Pada 20 Mac 2016 yang lalu, kami berpeluang hiking secara santai bersama-sama keluarga ke Santuari Ikan Sungai Chiling yang terletak di kaki Bukit Fraser. Santuari Ikan Sungai Chiling dikawal selia oleh Jabatan Perikanan Negeri Selangor dan merupakan habitat semula jadi ikan kelah Hijau (Mahseer). Pintu masuk ke Santuari Ikan Sungai Chiling terletak kira-kira 10 minit perjalanan selepas Empangan Kuala Kubu Bahru. Kawasan meletakkan kenderaan adalah terhad, namun anda dibenarkan pakir di bahu jalan.

Perjalanan dari pintu masuk ke tapak perkhemahan
kira-kira 500 meter

Hiking kali ini istimewa kerana di sertai
oleh mak dan bapak tersayang


Saturday, March 19, 2016

Perbezaan Pokok Asam Jawa

Kami telah menyemai biji asam jawa yang diambil dari 
1. Biji dari pes Asam Jawa
2. Biji dari Buah Segar

Hasil pemerhatian: 

Pokok dari Pes Asam Jawa (berumur kira-kira 2 bulan):
1. Daunnya lebih kecil dan berwarna hijau gelap
2. Batangnya lembut dan kecil

Pokok asam jawa hasil dari biji yang diambil
dari pes asam jawa

Pokok Asam Jawa dari buah segar (berumur kira-kira sebulan):
1. Daunnya lebih besar dan warnanya agak terang
2. batangnya lebih tegap dan teguh

Pokok hasil dari biji yang diambil dari buah
segar

Friday, March 18, 2016

Pokok Lebih Subur

Petua ini saya peroleh dari Kebun Bandar Fb group. Air cucian beras bukan sekadar dapat menghilangkan hanyir ikan, malah dapat menyuburkan pokok-pokok kita.  Menurut founder group ini, Izham Alias, cecair ini bukanlah sejenis baja tetapi merupakan makanan yang dapat membina mikrob-mikrob baik di dalam pasu. Mikrob-mikrob baik ini akan membantu tanaman kita subur.

Cara-cara

Air basuhan beras
1. Ambil air basuh beras dan diletakkan ke dalam bekas dan letakkan sekali kulit-kulit bawang yang telah dikopek. Biarkan ia semalaman.


Kulit bawang dan air basuhan beras yang dibiarkan semalaman
2. Cecair ini sedia disiram pada keesokan harinya. Boleh dilakukan setiap hari bergantung kepada anda sendiri. Saya melakukannya dua kali seminggu. Kesannya tidak serta merta namun memuaskan apabila melihat tanaman anda subur.

Wednesday, March 16, 2016

Projek 7: Cili Merah

Pokok cili merah kecil molek

Pokok ini tumbuh tanpa disedari, dalam pasu yang di dominasi oleh 'Grass plant'. 'Grass plant' ni kami beli di DIY shop sebagai projek tanaman untuk anak-anak kami. mereka menyemai sendiri anak benih di dalam pasu yang disediakan. Benih yang lebih kami semai di dalam pasu biru tersebut. Namun 'Grass plant' ni mempunyai jangka hayat pendek. Setelah menyedari kehadiran pokok cili tersebut, 'Grass plant' dicabut untuk memberi peluang pokok cili ini membesar.


Projek tanaman: Mempelajari kepentingan tumbuhan dalam kehidupan

Sebelum ini kami pernah cuba menanam pokok cili merah, namun apabila mencecah usia 2 bulan, pokok cili kami diserang penyakit lalu mati. Saya tidak pasti pokok cili kami ketika itu diserang penyakit apa. Terasa seperti mahu putus asa, tiba-tiba muncul anak pokok cili tanpa di duga. Kami berharap pokok cili ini akan membesar dengan sihat dan mengeluarkan hasil pertamanya.

Walaupun pokok cili susah dijaga namun
ini tidak mematahkan semangat kami untuk mencubanya lagi



Tuesday, March 15, 2016

Suatu ketika dulu


Kami berpeluang mengembara ke California, Amerika Syarikat selama enam bulan. Seperti di Malaysia kami banyak menghabiskan masa 'traveling' ke tempat-tempat semulajadi. Kami berasa amat bertuah kerana dapat mengalami cuaca empat musim. Ketika ini anak-anak kami baru berumur 8 tahun, 6 tahun dan 2 tahun. Di masa umur yang masih muda ini, kami cuba dedahkan mereka dengan kecantikan alam dan budaya masyarakat luar dari Malaysia. Tidak pandai berbahasa Inggeris tidak menjadi halangan untuk anak-anak kami berkomunikasi dengan masyarakat sekeliling. Malah ini menjadi pemangkin untuk mereka mempelajari sesuatu yang baru.

Antara tempat yang kami lawati:

Horseshoe Bend, Arizona

Virgina Lake

Upper Antelope Canyon, Page, Arizona

South Lake Tahoe

Sequoia National Park, California

Cara Menanam Pokok Tin dari Biji

Masih tidak berkesempatan untuk menukarnya
ke dalam pasu


Bermulalah perjalanan kami menjaga anak pokok Tin pemberian Sis Lin. Mengikut Sis Lin, anak pokok Tin ini ditanam dari biji benih. Sedikit maklumat mengenai cara-cara penanaman melalui biji benih. Anda boleh mendapatkan buah Tin kering yang dijual di pasaraya berdekatan.

Cara-cara:

Ambil sebiji buah Tin kering, dipotong dan dikeluarkan biji didalamnya. Rendam biji tin semalaman. Keesokan harinya, ambil biji benih yang tenggelam sahaja dan tabur di atas media campuran tanah, pasir dan sedikit kompos. Siram agar media sedikit lembab. Kemudian letakkan di tempat yang agak teduh dan tidak ditimpa hujan. Dalam 5 hingga 6 minggu, benih akan tumbuh. Pilih anak benih yang paling besar dan cergas pertumbuhannya. Tanamlah benih tersebut di dalam pasu dan di jaga dengan baik. Pokok yang ditanam melalui biji benih akan mengeluarkan akar tunjang. Pokok yang ada akar tunjang ini dapat bertahan dari tumbang apabila ia semakin besar.

Masalah dari penanaman melalui biji benih

1. Pokok Tin yang tumbuh daripada biji tidak semestinya mengeluarkan buah yang sama macam induknya. Jika buah induknya sedap dan manis, buah hasil daripada anak benih kemungkinan masam. Selain itu, saiz buah berlainan dan juga mungkin lebih manis daripada induk. Kemungkinan juga anak pokok tersebut tidak berbuah langsung.

2. Pokok Tin daripada biji memerlukan masa yang agak lama sebelum ia dapat mengeluarkan buah iaitu antara dua hingga 5 tahun atau lebih.

Info dari:
1. Sis Lin
2. Blog Pokok Tin Putrajaya

Sunday, March 13, 2016

Air Terjun Batu 16, Gombak

Air terjun ini masih lagi terpelihara kecantikan dan keasliannya

Pada 13 Mac 2016 lalu, kami sekeluarga dan geng Macai Rimba Outdoor Team (MROT) telah melakukan aktiviti 'hiking' ke Air Terjun Batu 16 yang terletak di Gombak. Air terjun ini terletak di Kampung Orang Asli Batu 16, Gombak dan masih belum lagi diketahui umum. Perjalanan bermula dari Jalan Gombak sehingga anda melihat Hospital Orang Asli Gombak. Perjalanan diteruskan sehingga anda melihat papan tanda Art Village Batu 16 . Ambil simpang kiri dan susuri jalan kecil tersebut sehingga sampai ke Kampung Orang Asli Batu 16.

Di sebelah kiri, kelihatan bangunan Pusat Pengajian Luar, Universiti Malaya (UM), Ulu Gombak. 

Anda boleh pakir kenderaan anda di kawasan kampung Orang Asli dan hanya dikenakan bayaran sebanyak RM3.00. Rumah-rumah di perkampungan ini dihiasi dengan lukisan-lukisan yang menarik. Tandas komuniti yang disediakan juga turut dihias cantik dengan lukisan mural.

Peta taburan rumah penduduk kampung
Mural yang dihasilkan dapat melahirkan suasana yang ceria dan cantik

Saturday, March 12, 2016

Pokok Tin (Fig)

Hari ini saya memperoleh anak pokok tin atau nama saintifiknya Ficus carica dari salah seorang kawan maya dari Kebun Bandar. Saya amat berterima kasih kerana sudi memberi anak pokok Tin secara percuma. Sebagai menghargai pemberiannya, saya memberinya anak pokok capsicum. Bukan setakat anak pokok Tin, sis Lin juga memberi saya anak pokok tomato ceri, benih bendi dan cili Jambak. Bermulah perjalanan kami geng kebun rumah tinggi menambah ilmu mengenai pokok Tin.

Buah Tin mempunyai khasiat yang tinggi dari
buah lain.


Klik di sini: Cara-cara menanam Pokok Tin dari biji benih

Friday, March 11, 2016

Ros Jepun


Ros Jepun atau nama saintifiknya Portulaca grandiflora adalah dari keluarga Portulacaceae mudah dibiakkan dan dalam masa yang sama begitu cantik dengan warna yang pelbagai. Pokok ini sangat unik kerana bunganya akan kembang penuh pada pukul 10 pagi dan mengucup kembali di waktu petang. Malah daunnya juga seolah2 kuncup apabila senja menjelma. Bunga ini adalah tanaman asal di Agentina, selatan Brazil dan Uruguay. Bunga Ros Jepun juga dikenali dengan nama Rose Moss, eleven o'clock, Mexican Rose, Sun Rose, Rock Rose dan Moss-ross Purslane. Selain itu, bunga Ros Jepun juga terdapat di Asia Tenggara. Di Bangladesh, bunga ini digelar 'Time fuul' yang bermaksud time flower kerana bunganya kembang pada masa tertentu. Di India pula, bunga ini dipanggil 'nau bajiya' yang bermaksud bunga pukul sembilan kerana ia kembang pada pukul 9.00 pagi. Manakala di Vietnam pula, bunga ini dipanggil 'hoa muoi gio' yang bermaksud bunga pukul 10 kerana kembang penuh pada pukul 10.00 pagi.

Thursday, March 10, 2016

Pokok Asam Jawa



Pokok Asam Jawa atau nama saintifiknya Tamarindus indica dari keluarga Fabaceae. Pokok Asam Jawa merupakan pokok dari genus Tamarindus iaitu hanya mempunyai satu spesis sahaja. Pokok Asam jawa menghasilkan  buah yang boleh dimakan seperti pod yang digunakan secara meluas dalam masakan. Selain itu, buah Asam jawa digunakan dalam perubatan tradisional.

Asal


Pokok Asam jawa dipercayai berasal dari Afrika dan tumbuh secara meliar di Sudan, Cameroon, Nigeria dan Tanzania.  Manakala India telah menanam pokok Aam Jawa secara meluas sejak dahulu lagi sehingga dianggap sebagai tanaman asal di sana. Di Arab pula, pokok Asam jawa didapati tumbuh meliar di Negara Oman terutama di sekitar kawasan Dhofar. Pokok asam jawa tersebar meluas ke Asia oleh pedagang-pedangang Arab. Nama lain bagi Asam jawa adalah Asam, Asam kemat, Asam Kuning (Bahasa Melayu), Indian Dare, Sweet tamarind (Bahasa Inggeris), Anbii, Ambli, Chinh, Imalii, Tamarulhindi (India), Da Ma Lin, Loa Wang Zi (China), Bakham Somkham (Thailand), Me Chua (Vietnam), Sempodok (Filipina), Tamarindo (Jepun) dan Khaam, Kok Mak Kham (Laos).

Wednesday, March 9, 2016

Gerhana Matahari Separa

Gerhana matahari yg berlaku sebentar tadi 9 Mac 2016
MENAKJUBKAN!!. Keadaan sekeliling kelihatan tenang sekali. Seluruh Malaysia dapat menyaksikan Fenomena Gerhana Matahari Separa sebaik sahaja matahari terbit. Fenomena Gerhana Matahari umumnya boleh berlaku apabila Bumi, Bulan dan Matahari berada di dalam kedudukan selari. Hasil daripada kedudukan ini, Bulan berupaya menutupi Matahari lalu bentuk matahari tidak bulat seperti biasa dan akan kelihatan seolah-olah hilang sebahagian.

Pada lokasi tertentu, matahari akan hilang keseluruhannya lalu terjadilah fenomena Gerhana Matahari Penuh. Bagi penduduk ke arah Selatan Malaysia, akan dapat lihat matahari dalam keadaan sempurna bulat ketika terbit dan berpeluang melihat sentuhan pertama iaitu saat bulan kali pertama kelihatan di salah satu sisi matahari. Kemuncak Gerhana Matahari Separa adalah sekitar jam 8.23 pagi.


Monday, March 7, 2016

Ruang Tanaman


Ruang Anak Pokok. 
Di ruang ini saya khaskan untuk anak pokok yang sedang membesar. Ada kira-kira 40 anak pokok capsicum yang berumur sebulan dan anak pokok asam jawa manis yang berumur kira-kira 3 minggu. Kelihatan juga pokok Sweet Williams pemberian adikku. Anak pokok cili capsicum tidak lagi layu ketika panas terik.

Ruang pokok yang dah besar
Di ruang ini, kebanyakkan pokok tahan menerima cahaya matahari yang terik. Antara pokok yang kami tanam : pokok Ros Jepun, pokok kurma. pokok ulam raja, pokok pandan, pokok bawang, pokok keladi, pokok halia, pokok mata kucing, pokok cili merah, pokok sunlady, pokok asam jawa (biji benih dari asam jawa paste), pokok limau kasturi dan pokok orkid.

Sunday, March 6, 2016

Sweet Williams



Sempena Hari Jadi saya, adik saya telah menghadiahkan pokok bunga Dianthus barbatus atau dikenali juga sebagai Sweet Williams dari keluarga caryophlyllaceae. Saya tidak mengetahui nama tempatan pokok bunga ini. Pokok bunga Dianthus berasal dari Selatan Eropah dan sesetengah negara Asia yang mempunyai empat musim. Pokok ini boleh tumbuh antara 30 hingga 75 sentimeter. Bunganya tumbuh sekumpulan dan boleh mencecah sehingga 30 kuntum setiap tangkai. Setiap bunganya berukuran 2 hingga 3 diameter dan mempunyai 5 kelopak yang bergerigi. Baunya harum seakan-akan bunga cengkih.




Saturday, March 5, 2016

Ros Jepun Tidak Berbunga

Kami juga berminat dengan pokok-pokok bunga. Untuk permulaan, kami memilih pokok Ros Jepun kerana pokok ini mempunyai bunga yang cantik dan senang dijaga. Pada mulanya pokok Ros Jepun kami mempunyai bunga yang banyak dan kelihatan cantik. Tetapi makin lama pokok bunga Ros Jepun kami tidak berbunga dan daunnya kecil sahaja.

Walaupun buntu kami cuba mencari jalan penyelesaian. Kami cuba meletakkan Ros Jepun di tempat yang kena matahari paling panas dan lama. Jika dahulu kami letakkan di atas lantai, kini kami menggantungkannya di railing. Seminggu selepas itu, kami mendapati Ros Jepun mula mengeluarkan putik bunga dan daunnya kelihatan besar dan segar.


Mula berbunga dan batangnya kini bercabang



Galak tumbuh putik bunga


Petua



Sejak berzaman, nenek moyang kita telah menggunakan asam jawa untuk mengubati penyakit yang mereka alami. Walaupun kita tidak dapat pastikan keberkesannannya, namun perubatan tradisional ini telah diperturunkan bagi memberi manfaat kepada generasi akan datang. perubatan tradisional ini harus disimpan sebagai rujukan atau salah satu cara perubatan alternatif tanpa bahan kimia.

Asam jawa atau nama saintifiknya tamarindus indica adalah tumbuhan asal di benua Afrika dan tersebar meluas oleh pedagang-pedagang arab yang datang singgah ke Asia Tenggara. Nama lain bagi asam jawa adalah Asam, Asam kemat, Asam kuning (Melayu), Indian date, Sweet tamarind (Bahasa Inggeris), Anbii, ambli, Chinh, Imalii, Tamarulhindi (India), Da Ma Lin, Loa Wang Zi (China), Bakham Somkham (Thailand), Me Chua (Vietnam), Sempodok (Filipina), Tamarindo (Jepun) dan Khaam, Kok mak kham (Laos).

Petua orang dulu-dulu


1. Demam Panas
Ambil segenggam asam jawa dan kemudiannya diramas di dalam semangkuk air. Kemudian air tersebut dilumurkan di atas kepala bayi anda sambil berselawat dan membaca doa ini.



Friday, March 4, 2016

Penanaman Kurma (update 2)

Update 2

Pada 4 Mac 2016 lalu, ketika meninjau kebun rumah tinggi, saya dapati 4 anak pokok kurma mula tumbuh daun kedua. Keempat-empat pokok ini diletakkan di kawasan panas terik petang. manakala 9 anak pokok lagi yang ditempatkan di tempat redup belum lagi mengeluarkan daun kedua.

Pokok anak kurma yang diletakkan di tempat panas

Ke pautan Projek Tanaman 4: Kurma. Klik di sini

Thursday, March 3, 2016

Projek Tanaman 6: Asam Jawa Manis (Tammarind)


Jauh mengembara dari Kelantan ke Shah Alam

Ibu kesayangan memberi buah asam jawa manis yang di beli di pasar kelantan. Saya dan anak-anak mengambil keputusan untuk menanam biji asam jawa manis kerana rasanya yang sedap dan manis. Maka pada 9 Februari 2016 yang lalu, kami menyemai biji asam jawa manis. Kami terlupa akan projek kami ini sehinggalah pada 28 Februari 2016 lalu, anak pokok Asam Jawa mula bercambah.

Anak-anak gembira melihat benih yang ditanam bercambah
Walaupun saya tahu, pokok asam jawa manis mengambil masa hingga ke 6 tahun untuk berbuah, ini tidak mematahkan semangat kami untuk mencuba bercucuk tanam dan melihat benih itu bercambah. Kebanyakkan pokok di kebun kami, kami tanam sendiri dari buah yang dibeli di pasaraya. Perasaan gembira melihat 'kehidupan' baru bermula dari usaha kami itu tidak dapat digambarkan.

Wednesday, March 2, 2016

Mengapa pokok layu ketika tengah hari

Satu masalah timbul ketika projek menanam pokok capsicum  iaitu anak pokok layu ketika matahari terik memancar secara terus ke balkoni rumah iaitu antara pukul 3.00 hingga pukul 6.00 petang. Anak pokok seolah lembik dan daunnya bergulung. Keadaan anak pokok kembali pulih apabila cahaya matahari tidak lagi terik. Kami mencuba beberapa cara untuk mencari penyelesaian masalah ini.

i) menutup kawasan anak benih capsicum dengan kain hitam yang dijual di nursery.
- Kain tersebut dapat menghalang cahaya matahari  memancar terus ke balkoni rumah.
Hasilnya: Anak pokok capsicum kelihatan lebih baik dan batangnya tidak lembik dan daunnya tidak lagi bergulung.

Anak pokok capsicum layukan dirinya untuk
menggelak kehilangan air yang banyak. 


Salah satu cara saya lakukan untuk
menghalang pancaran terus cahaya matahari

Proses transpirasi adalah proses tumbuhan kehilangan air dalam bentuk wap air melalui stoma pada daun.  Stoma adalah liang kecil pada daun yang membenarkan wap air keluar dari bahagian tumbuhan yang aktif seperti daun dan batang. Stoma adalah liang kecil pada permukaan daun yang dikawal oleh sel pengawal yang berbentuk seperti kacang. Ia berfungsi untuk membenarkan pertukaran oksigen dan karbon dioksida semasa proses fotesintesis dan repirasi, Selain itu, stoma juga berfungsi untuk menyingkirkan wap air semasa transpirasi.

Semakin luas permukaan daun, semakin banyak bilangan stoma pada tumbuhan tersebut maka semakin luas kawasan untuk air menyejat, semakin tinggi pula kadar transpirasi. Cahaya merangsang bukaan stoma. Semakin tinggi keamatan cahaya, semakin tinggi kadar transpirasi kerana stoma akan terbuka dengan lebih luas.  Semakin tinggi suhu persekitaran maka semakin tinggi kadar traspirasi yang berlaku.

Oleh itu, pada suhu panas, daun dan batang pokok kelihatan layu sebagai akibat hilangnya air yang diperlukan. Daun yang nipis akan layu lebih cepat berbanding daun yang tebal. Kelayuan tumbuhan ini boleh dikatan layu sementara atau layu kekal. layu sementara terjadi jika tanah masih mengandungi air buat tumbuhan. Kelayuan terjadi akibat banyak air yang tersejat. Tumbuhan akan menjadi segar kembali setelah kadar transpirasi menurun. Layu sementara yang berulang-ulang akan menyebabkan tumbuhan mengalami pertumbuhan yang tertekan.




Di sini saya menjumpai video penerangan mengenai masalah ini di blog TanamSendiri.com. Anda boleh klik di sini untuk keterangan lanjut. 


sumber: TanamSendiri.com Nota Biologi

Projek 5: Menanam pokok capsicum. Klik di sini

Tuesday, March 1, 2016

Cili Benggala (Bell Pepper)


Cili Benggala atau nama saintifiknya Capsicum annum L adalah sayuran jenis cili dari keluarga Solanaceae.  Cili benggala atau dikenali juga sebagai Bell Pepper dipercayai berasal dari kawasan Mexico, Amerika Selatan dan terus disebarkan ke kawasan Eropah, Asia Barat, Afrika dan Asia. Cili benggala memiliki pelbagai varieti dan nama bergantung kepada tempat dan jenisnya. Cili benggala dikenali sebagai chilli pepper di Amerika Utara, sweet pepper di Britain dan capsicum di Australia, New Zealand dan India. Ia juga dikenali sebagai bell pepper di Amerika Syarikat dan Kanada serta dikenali di sesetengah negara sebagai paprika.

Buah ini besar dan berbentuk seperti loceng serta mempunyai warna yang menarik seperti hijau, merah, kuning, oren, ungu, coklat dan hitam. Cili benggala boleh dimakan mentah atau dimasak. Sayur ini boleh dicincang atau dihiris dan dimakan sebagai salad. Selain itu, cili benggala juga dijadikan sos atau dicincang dijadikan salsa dengan mencampurkan dengan beberapa rempah dan herba.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...